KACA sinonim dengan hiasan rumah, tetapi jarang sekali muncul sebagai aksesori peribadi.
Bagi pemakai, bahan ini mungkin nampak berisiko, namun cabaran sebenar terletak pada pembuatnya sendiri.
Setiap kepingan kaca yang dipotong dan digilap boleh meninggalkan luka kecil pada tangan, malah memerlukan ketelitian tinggi untuk memastikan hasilnya cantik dan selamat.
BACA LAGI: Tak sanggup tengok badan makin susut, wanita tetap masak makanan untuk bekas suami

Shareena terinspirasi untuk memulakan bisnes aksesori berasaskan kaca selepas diperkenalkan dengan koleksi bahan kaca milik suaminya yang merupakan pengarca kaca. — Instagram/@kacha.my
Bagi pengasas aksesori berasaskan kaca, Shareena Shahridan, 47, cabaran tersebut bukan perkara asing.
Walaupun kerap mengalami luka pada tangan semasa memotong dan menggilap kaca, beliau tetap sabar menjalankan setiap kerja.
"Biasa lah, tangan memang pernah luka. Suami selalu cakap, kena berkawan dengan kaca dulu, baru boleh buat kerja ini dengan selamat," katanya kepada Majoriti.
Walaupun begitu, setiap kepingan kaca yang diolah menjadi aksesori menawan tetap menunjukkan ketelitian dan dedikasinya.
Berkongsi bagaimana beliau tercetus idea untuk menjalankan bisnes itu, Shareena berkata, inspirasinya bermula daripada koleksi kaca milik suaminya yang merupakan pengarca kaca.
"Selepas berkahwin, saya perasan suami saya mempunyai koleksi bahan mentah yang dipanggil spektrum dan dichroic glass.
"Daripada situ, saya mula bereksperimen, bermain dengan teknik bakar-bakar kaca dan cantik pula kejadiannya sehingga tercetus idea untuk menghasilkan aksesori sendiri," kongsi pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu.
Kacha menghasilkan aksesori seperti cincin, rantai, gelang serta pin.
Bahan untuk gelangnya kebanyakannya diimport dan menggunakan stainless steel berkualiti tinggi supaya selesa dipakai dan tidak menyebabkan alahan.
Menyentuh bab rekaan, beliau mengambil inspirasi daripada pelbagai tema, termasuk abstrak, hutan, laut dan coral.
"Kadang-kadang saya ikut tema, dan untuk mendapatkan warna yang diingini, saya perlu menyesuaikannya dengan material kaca yang sudah tersedia," jelasnya.
Ibu kepada dua orang anak itu menambah, kesemua proses adalah buatan tangan.
"Semua handmade. Potong kaca pun pakai diamond cutter, bukan mesin, kami tak guna kilang," kata Shareena menambah setiap kepingan perlu digilap satu persatu supaya bentuknya halus dan selamat dipakai.
Bercerita lanjut mengenai proses pembuatan, Shareena mendedahkan proses grind antara yang paling renyah kerana setiap kepingan perlu dibentuk menjadi bulat.
Tambahan pula, bahan kaca yang digunakan diimport dari luar negara menyebabkan kos lebih tinggi berikutan kadar tukaran mata wang dan cukai import.
Keadaan tersebut sekali gus menjadi cabaran buat beliau.
Dari segi masa, setiap aksesori boleh mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk satu kepingan, bergantung pada kerumitan rekaan.
Selain itu, beliau tidak menafikan risiko kaca boleh pecah, namun menegaskan bahawa selepas dibakar dalam ketuhar, teksturnya menjadi lebih tahan lasak.
"Risiko tu ada-ada, tapi bila dah dibakar dalam ketuhar, teksturnya tak macam kaca sangat. Kalau jatuh atas karpet ke, tak pecah. Kadang-kadang melantun, kadang-kadang retak sikit sahaja," katanya yang mesra disapa sebagai Kak Nina.
Berkongsi tip penggayaan, Shareena berkata, aksesori beliau bersifat versatil dan sesuai dipadankan sama ada untuk majlis rasmi atau santai.
"Rekaan aksesori Kacha versatil, jadi boleh dipadankan mengikut gaya. Ada yang funky, ada yang minimalis," kongsinya.
Sebagai pengasas Kacha, Shareena menekankan kepentingan kesabaran dan ketelitian dalam setiap proses penghasilan aksesori kaca.
Hal itu menjadikan setiap rekaan Kacha bukan sahaja cantik, tetapi juga tahan lasak dan sesuai digayakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
