Enggan tradisi ditelan zaman, Maneknya hidupkan warisan Baba Nyonya menerusi kasut bersulam manik


  • Bonda
  • Isnin, 29 Sep 2025

Sepasang kasut memerlukan kira-kira 12,000 biji manik halus yang dijahit satu persatu dengan teliti. — — Instagram/@maneknya

SENI kasut beading atau kasut berasaskan manik merupakan salah satu warisan Baba Nyonya yang kini semakin jarang ditemui.

Ia bukan sahaja unik dari segi kehalusan rekaannya, malah kaya dengan nilai simbolik budaya yang diwarisi turun-temurun.

Lebih-lebih lagi, ia memerlukan kesabaran tinggi kerana untuk menyiapkan sepasang kasut, kira-kira 12,000 biji manik halus perlu dijahit satu persatu menggunakan tangan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan hirau apa orang kata’, bapa menari gembira, ibu beragama Kristian bantu betulkan hijab, Mariana Tavares dapat sokongan penuh keluarga

BACA LAGI: Ibu iri hati anak sendiri, halang berkahwin walau usia 30-an, padahal si anak gigih tanggung adik-beradik, bapa tiri

Swee May (kiri) bersama Swee Lin mengusahakan rekaan kasut berasaskan manik agar ia tidak ditelan zaman. — Instagram/@maneknya

Menyedari keindahan seni itu berdepan risiko pupus, dua beradik dari Melaka iaitu Lee Swee May dan Lee Swee Lin tampil mengasaskan ManekNya.

Kesabaran dan kemahiran itu menjadi asas kepada jenama tersebut yang dibina dengan satu matlamat jelas iaitu memastikan seni kasut berasaskan manik tidak pupus ditelan zaman.

Menurut pengasas bersamanya, Swee May, walaupun seni manik kelihatan rumit, ia tetap mempunyai nilai tersendiri yang tidak boleh dibandingkan dengan kasut moden.

"Bila orang lihat kasut manik, ramai akan kagum dengan ketelitian yang ada pada setiap jahitan. Bagi kami, ia bukan sekadar fesyen, tetapi satu warisan yang perlu terus dipelihara," katanya.

Setiap pasangan kasut manik menuntut kemahiran tukang yang teliti kerana saiz maniknya terlalu kecil.

Bercerita mengenai cabaran utama dalam penghasilan kasut manik, Swee May menjelaskan bahawa saiz maniknya yang terlalu kecil sering menyukarkan kerja jahitan.

Keunikan seni itu katanya, terletak pada ketelitian yang tinggi kerana sekali manik terjatuh ia hampir mustahil untuk ditemui semula.

"Sebab itu kerja ini perlukan tumpuan penuh. Biasanya sepasang kasut mengambil masa sebulan untuk disiapkan, bergantung pada motif dan kerumitan rekaan," katanya sambil menambah harga bagi sepasang kasut bermula daripada RM1,000.

Ditanya mengenai corak dan motif, Swee May menjelaskan bahawa sehingga kini kasut manik banyak menampilkan elemen flora dan fauna.

Katanya, wanita berusia cenderung memilih motif floral, manakala generasi muda lebih menggemari gaya yang minimalis.

Justeru, beliau bersama kakaknya cuba mengolah rekaan dengan pendekatan lebih kontemporari supaya sesuai dipadankan dengan fesyen semasa.

"Kalau tidak, orang muda rasa ia terlalu klasik dan sukar untuk digayakan," katanya.

Selain kasut, ManekNya turut memperluaskan hasil seni jahitan manik kepada aksesori lain seperti beg tangan dan barangan gaya hidup seperti alas cawan dan lilin aromaterapi.

Usaha tersebut penting untuk menarik minat lebih ramai pelanggan, sekali gus memastikan seni itu kekal relevan dalam kehidupan seharian.

Walaupun berdepan cabaran untuk mengekalkan seni halus yang memerlukan masa panjang, ketelitian tinggi serta kos bahan yang tidak murah, Swee May percaya kasut manik akan sentiasa ada tempat di hati pencinta seni.

"Kami mahu setiap orang faham bahawa nilai kasut manik bukan hanya pada harga, tetapi pada kesabaran, ketekunan dan kisah budaya yang dijahit bersama manik itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram