Melinda Looi pamer retrospektif kostum pentas Aina Abdul sempena CIMB Artober 2025, rai gabungan fesyen, seni dan muzik


  • Gaya
  • Ahad, 28 Sep 2025

Melinda Looi (kiri) dan Aina Abdul berkolaborasi dalam pameran CIMB Artober Art & Soul 2025 yang mengetengahkan kostum ikonik hasil gabungan elemen fesyen dan seni muzik. — Melinda Looi

PENYANYI terkenal Malaysia, Aina Abdul dan pereka fesyen yang sudah meraih pelbagai pengiktirafan, Melinda Looi bekerjasama dalam satu pameran istimewa sempena acara seni tahunan CIMB Artober Art & Soul 2025.

Pameran tersebut meraikan gabungan muzik, fesyen dan seni.

Kolaborasi itu mempamerkan lapan kostum pentas ikonik yang pernah digayakan oleh Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani direka bersama Melinda Looi.

BACA LAGI: Pelajar Malaysia kongsi tip masuk Universiti Al-Azhar guna sijil SPM

BACA LAGI: Katrina Kaif bakal timang anak sulung pada usia 42 tahun, pakar O&G dedah pro, kontra hamil lewat umur

Melinda bersama salah satu rekaannya yang digayakan Aina pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) ketika mempersembahkan lagu Puas Sudah. — Melinda Looi

Setiap kostum melambangkan detik penting dalam perjalanan seni Aina, termasuk persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan konsert Aina sendiri, iaiti A Night with Aina Abdul (ANWAA) 3.0.

Kostum-kostum yang asalnya dipakai di atas pentas, kini boleh dilihat dalam satu pameran khas.

Pengunjung berpeluang melihat secara dekat rekaan unik yang terlibat di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur dekat reruai Aina's Chamber of Curiosities.

Pameran berkenaan sekali gus memberi peluang kepada peminat dan penggemar fesyen menyaksikan karya seni yang lahir daripada gabungan muzik dan fesyen.

Selain itu, terdapat barangan eksklusif yang diinspirasikan daripada kostum-kostum tersebut turut dijual di pameran.

Melinda dalam satu kenyataan berkata, setiap rekaan bukan sekadar pakaian, tetapi cerita yang dibina dengan penuh emosi dan rasa hormat terhadap seni Aina.

"Setiap kostum ini bukan sekadar pakaian, tetapi satu cerita, dihasilkan dengan penuh semangat, emosi dan penghormatan mendalam terhadap seni Aina," katanya.

Sementara itu, Aina menjelaskan bahawa pengalaman memakai rekaan Melinda membolehkannya mengekspresikan diri dengan lebih luas.

"Beraksi dalam rekaan Melinda memberi saya kebebasan untuk mengekspresikan diri lebih daripada muzik. Saya teruja kerana peminat akhirnya dapat menyaksikan kostum ini sebagai karya seni hidup," ujar pelantun lagu Puas Sudah itu.

Pameran CIMB Artober 2025 yang berlangsung dari 26 hingga 28 September itu merupakan acara tahunan anjuran CIMB Bank yang meraikan seni, muzik dan fesyen melalui pelbagai pameran, persembahan dan kerjasama kreatif bersama artis tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram