Wajah anak lebam apabila buaian roboh akibat silap pasang, suami Atikah Suhaime anggap pengajaran


  • Bonda
  • Ahad, 28 Sep 2025

Lokman mengganggap detik cemas yang menimpa Mulan itu sebagai pengajaran buat mereka. — Instagram/@therealatikahsuhaime

PENGGUNAAN buaian elektrik bagi menidurkan anak bertukar menjadi insiden buat pelakon, Datin Atikah Suhaime, 34, dan suaminya, Datuk Lokmah Teh apabila buaian puteri sulung mereka, Lyla Mulan Teh roboh, lalu mesinnya menghempap muka bayi berusia enam bulan itu.

Menceritakan detik cemas itu menerusi akaun Threads, Lokman menyifatkan insiden itu sebagai satu pengajaran buat mereka dan menjadi proses bergelar ibu bapa.

Kata Lokman, buaian yang digunakan sejak tiga bulan lalu tiba-tiba putus ketika Mulan sedang tidur.

BACA LAGI: Melinda Looi pamer retrospektif kostum pentas Aina Abdul sempena CIMB Artober 2025, rai gabungan fesyen, seni dan muzik

BACA LAGI: Selepas 2 tahun menyulam cinta, Selena Gomez dan Benny Blanco akhirnya disatukan

Tangkap layar memaparkan situasi buaian terbabit selepas roboh sehingga menyebabkan kecederaan pada muka Mulan. — Instagram/@therealatikahsuhaime

"Hari ini (Sabtu) menjadi satu pengajaran buat saya dan isteri sebagai ibu bapa. Buaian anak saya jatuh dan putus ketika Mulan sedang tidur. Nasib baik di bawah ada selimut dan bantal, jadi apabila dia jatuh terlentang, keadaannya selamat.

"Tetapi mesin buaian yang tergantung di atas telah menghempap muka Mulan. Hati saya luluh melihat wajahnya lebam. Kami segera membawanya ke hospital untuk diperiksa," tulisnya sambil menzahirkan kelegaan susulan hentakan didapati tidak terlalu serius.

Lokman turut meluahkan rasa bersalah apabila melihat wajah anaknya mengalami lebam dan kesan luka.

Beliau menambah, buaian berkenaan segera dibuang kerana tidak sanggup menggunakannya lagi.

"Mulan seorang yang kuat, Alhamdulillah cuma ada sedikit lebam pada wajahnya. Saya berdoa kepada ALLAH agar Mulan cepat sembuh.

"Maafkan Daddy, Mulan, kerana tidak dapat melindungi kamu daripada perkara ini. Daddy akan cuba sedaya upaya untuk pastikan ia tidak berlaku lagi," ujarnya.

Terdahulu, Atikah berkongsi detik cemas mengenai anak perempuannya yang mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat terjatuh daripada buaian elektrik.

Menurutnya, buaian tersebut roboh kerana kesilapan semasa pemasangan.

"Mummy minta maaf. Tidak kira betapa penat atau menuntutnya seorang bayi, sepatutnya hanya perlu pegang sahaja dan hentikan semua perkara lain. Fokus pada bayi kerana mereka hanya akan membesar sekali," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram