CIMB Artober Art & Soul 2025 jadi platform Yayasan Hasanah angkat artisan seni tekstil tempatan, kekalkan warisan budaya


  • Gaya
  • Rabu, 01 Okt 2025

Siti Kamariah (kanan) ketika melihat dengan dekat demonstrasi tenunan dastar di reruai Yayasan Hasanah pada hari kedua CIMB Artober Art & Soul 2025.

SEPANJANG tiga hari penganjuran CIMB Art & Soul Artober 2025 dari 26 sehingga 28 September lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC Kuala Lumpur), Yayasan Hasanah sekali lagi mencuri perhatian dengan mengetengahkan seni kraf warisan Malaysia.

Menurut Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, penyertaan kali ketiga berturut-turut oleh yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional itu mencerminkan komitmen Yayasan Hasanah dalam mengangkat artisan sebagai penggerak industri kreatif sambil memastikan warisan budaya terus relevan.

"Di Hasanah, kami mengamalkan pendekatan filantropi yang mendengar artisan tidak dilihat sebagai penerima ihsan semata-mata, tetapi sebagai usahawan impak yang membentuk industri di mana warisan dan kelangsungan hidup berkembang seiring," katanya.

BACA LAGI: 'Hijab bukan sekadar kain', isteri Syukri Yahya buka mulut, tegur jenama kasut papar model berhijab tayang betis

BACA LAGI: Isteri kecewa suami nekad berhenti kerja tetap alasan nak jadi pemandu e-hailing

Siti Kamariah Ahmad Subki.

Tambah beliau, Yayasan Hasanah juga memandang ekonomi kreatif sebagai salah satu pendekatan untuk menyokong artisan dan inovator, sambil memastikan usaha mereka memberi impak sosial yang bermakna.

"Impak sosial mempunyai pelbagai wajah dan salah satu yang kami banggakan ialah ekonomi kreatif, iaitu menyokong inovator dan artisan yang menggabungkan keuntungan dengan tujuan," ujar beliau.

Sepanjang hujung minggu itu, ramai pengunjung singgah ke gerai Yayasan Hasanah untuk melihat lebih dekat hasil seni halus negara.

Selain pameran, demonstrasi langsung oleh artisan tempatan, bengkel interaktif serta pelancaran Projek Sumandak yang mengetengahkan kreativiti wanita Sabah melalui kain dastar menjadi antara tumpuan utama.

Kain dastar menarik minat ramai selepas diperkenalkan semula dalam bentuk aksesori moden menerusi jenama kasut tempatan, Cipela.

Mengulas mengenai kain dastar, Siti Kamariah menjelaskan bahawa tenunan tradisi masyarakat Iranun itu bukan sahaja memiliki nilai budaya, malah turut membuka peluang ekonomi melalui adaptasi moden.

"Kain dastar yang ditenun oleh komuniti Iranun bukan sekadar tekstil warisan penuh maruah, ia adalah medium pemberdayaan ekonomi dan perayaan budaya yang kini diteruskan melalui perusahaan seperti Cipela," jelasnya.

Sementara itu, di bengkel Keringkam dan Kelingkan, peserta berpeluang mendekati kehalusan sulaman benang emas dan perak.

Yayasan Hasanah turut memperkukuh ekosistem warisan melalui pelbagai inisiatif seperti Hasanah Gold Threads Awards (HGTA) yang meraikan keunggulan tekstil tempatan selain program fellowship untuk membantu artisan menembusi pasaran antarabangsa.

Penutup CIMB Artober 2025 kali ini bukan sekadar meraikan seni, tetapi juga mengingatkan bahawa warisan budaya negara masih bernyawa apabila diberi ruang dan sokongan.

Dengan sambutan menggalakkan, penganjuran kali ini membuktikan seni kraf warisan mampu terus berdiri di pentas arus perdana serta mendekatkan masyarakat kepada identiti budaya Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram