‘Kain tradisi bukan untuk disimpan’, Cipela angkat tenunan dastar sebahagian gaya fesyen harian


  • Gaya
  • Ahad, 28 Sep 2025

Rekaan kasut dan beg tangan Cipela berinspirasikan kain dastar Iranun, menggabungkan elemen warisan dengan gaya moden.

SELAMA ini, kain tradisional sering dilihat hanya sesuai untuk acara rasmi atau majlis perkahwinan.

Mentaliti sebegitu menjadikan warisan tekstil seakan terpinggir dalam kehidupan seharian, sedangkan keindahannya mampu menyerlahkan gaya moden yang lebih segar.

Dalam konteks fesyen, idea bahawa kain tenun atau songket hanya untuk majlis istimewa semakin dipersoalkan, terutama apabila generasi baru mula mencari cara baharu untuk menggayakan warisan.

BACA LAGI: Katrina Kaif bakal timang anak sulung pada usia 42 tahun, pakar O&G dedah pro, kontra hamil lewat umur

BACA LAGI: Sistem hantar makanan tak sampai 20 minit, bayar guna kod QR, antara perkara 'mengejutkan' wanita Kanada sejak tinggal di Malaysia

Hidayah (berdiri dua dari kanan) pada pelancaran Projek Sumandak yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pengasas jenama kasut Cipela, Hidayah Hassan tampil dengan suara lantang untuk mengubah persepsi itu.

Melalui projek Sumandak yang mengangkat kain dastar hasil tenunan wanita suku Iranun di Kota Belud, Sabah, beliau menekankan bahawa warisan perlu diberi ruang hidup, bukan sekadar disimpan dalam almari atau dipamer di muzium.

"Kita kena keluar daripada mentaliti tersebut. Kain tradisional bukan hanya untuk majlis rasmi. Ia boleh digayakan dalam pelbagai bentuk seperti kasut, beg, shawl yang kita pakai dengan bangga," katanya kepada Majoriti selepas menghadiri pelancaran Projek Sumandak pada pameran seni budaya, CIMB Artober Art & Soul di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia ( MITEC) dekat Kuala Lumpur pada Sabtu.

Inspirasi daripada kain dastar

Idea tersebut lahir selepas Hidayah mengenali keunikan kain dastar ketika meneliti buku tentang seni kraf Sabah.

Tertarik dengan kehalusan benang berwarna dan simboliknya, beliau melihat potensi untuk menjadikannya sebahagian daripada DNA Cipela yang sejak 2012 memang sinonim dengan rekaan berasaskan warisan seperti songket, batik dan tenun.

"Kain dastar sangat cantik dan eksklusif. Apabila saya tengok tapestry itu, saya tahu kami perlu buat sesuatu agar ia terus hidup," jelasnya yang mahu menyeimbangkan warisan tradisi dari Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Bina ekosistem artisan

Projek Sumandak bukan sekadar tentang menghasilkan kasut berinspirasikan kain dastar, tetapi juga membina ekosistem yang menyokong artisan tempatan.

Hidayah mendedahkan bagaimana pasukannya bekerjasama rapat dengan keluarga penenun warisan, termasuk penerus kepada Haja Pandian, tokoh kain dastar di Kota Belud.

Prosesnya tidak mudah, malah pernah tertunda akibat cabaran kehidupan artisan, namun menurut Hidayah, “Ini semua tentang sentuhan manusia. Kita bukan mesin. Bila buat kerja dengan komuniti, kita kena faham ritma hidup mereka.”

Usaha itu turut mendapat perhatian apabila Cipela menyertai CIMB Artober Art & Soul.

Bagi Hidayah, platform sedemikian membuktikan bahawa warisan seni Malaysia khususnya tenunan dastar yang mampu diangkat menjadi gaya hidup kontemporari.

Lebih bermakna, kejayaan itu didorong oleh sokongan Yayasan Hasanah serta dua pelabur wanita, Haslinda Hussein dan Bibi Rafidah Mohd Amin.

"Wanita Sabah, khususnya daripada suku Iranun, membawa legasi budaya yang begitu rumit.

"Melihat hasil tangan mereka dipamerkan di platform berprestij seperti CIMB Artober memberi saya kekuatan untuk teruskan perjuangan ini," katanya.

Warisan yang praktikal dan kekal

Lebih menarik, Cipela menekankan aspek fesyen yang kekal praktikal. Rekaan kasut, beg tangan dan aksesori dengan sentuhan kain dastar direka untuk dipakai berulang kali, sesuai dengan gaya harian dan bukan sekadar trend sementara.

"Yang paling penting, rekaan ini klasik. Pelanggan boleh terus pakai, malah diwariskan kepada anak dan cucu.

"Kalau kita hanya guna kain ini sekali-sekala, warisan takkan ada kesinambungan," katanya.

Ketika ditanya cara menggayakan kain tradisi, Hidayah menegaskan bahawa kuncinya terletak pada keyakinan, bukan padanan tertentu.

"Rahsia bergaya dengan warisan ialah keyakinan. Tak kisah warna atau corak apa, kalau anda yakin, ia akan nampak cantik," ujarnya.

Usaha Cipela menerusi Projek Sumandak membuktikan bahawa kain tradisional seperti dastar Iranun bukan sekadar warisan untuk dipelihara, tetapi mampu terus hidup dalam bentuk rekaan moden yang dekat dengan masyarakat.

Dengan cara ini, warisan bukan hanya dikenang, malah diwarisi dan diraikan generasi seterusnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram