
SUASANA studio kecil itu dipenuhi aroma lilin panas, bunyi air mendidih dan percikan warna yang bagaikan menari di atas sehelai kain putih.
Puteh Nasrin Ishak berdiri di hujung meja, tekun mencanting garis halus dengan penuh sabar.
Bagi wanita berusia 33 tahun ini, setiap helai batik yang terhasil membawa jiwa dan cerita tersendiri.
Seni batik bukan sekadar pakaian bagi Puteh, tetapi satu cara untuk membawa identiti budaya ke tengah ruang rumah moden.
Melalui Puteh Batik Lab, beliau bereksperimen dengan warna-warna berani, motif flora dan fauna, menjadikan batik sebagai elemen dekorasi yang mencuri perhatian.
Aspirasi itu lahir daripada keinginan untuk mengubah persepsi masyarakat.
Batik tidak lagi harus terkurung di almari menunggu majlis rasmi.
Ia wajar menjadi statement piece di ruang tamu, pada kusyen, panel dinding atau langsir yang mampu membuat tetamu berhenti sejenak, memerhati dan bertanya tentang ceritanya.
Idea membawa batik ke dalam dekorasi rumah tercetus daripada pengalaman peribadi Puteh sendiri.
"Saya percaya batik bukan hanya cantik dipakai, tapi juga boleh hidup dalam ruang rumah.
"Idea ini tercetus bila saya nampak batik boleh jadi medium untuk menambah karakter, suasana mesra dan identiti budaya dalam dekorasi moden," katanya kepada Majoriti.
Dengan latar rumah berkonsep gabungan Melayu dan Cina, Puteh menyingkap makna corak bangau daripada perahu kolek lambang , kekuatan, keberanian dan kecekalan mencari rezeki.
Corak itu diabadikan dalam lukisan batik, menjelma sebagai motif indah yang menghidupkan dinding utama kediamannya.
Motif itu dihidupkan dengan warna-warna moden seperti jingga, kuning dan biru untuk menjadi tumpuan visual.
Dalam masa yang sama, ia di gabungkan teknik tekstil seperti batik lukis dan seni jahitan tampal.
Antara hasil seni batik di hasilkan Puteh bagi dekorasi ruangan rumah.
Puteh percaya pemilihan corak dan warna adalah kunci untuk menjadikan batik harmoni dengan ruang.
"Saya tengok pada suasana ruang. Kalau ruang tamu biasanya corak lebih berani dan warna lebih cerah.
"Untuk bilik tidur, saya guna warna lembut, tenang. Ruang makan pula lebih neutral, supaya harmoni dengan perabot," jelasnya.
Pendekatan itu menjadikan batik bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada naratif rumah itu sendiri mengikut fungsi dan emosi ruang yang berbeza.
Batik bukan sekadar fesyen kerana ia boleh menghidupkan ruang kediaman.
Menggabungkan seni tradisional dalam dekorasi moden tidaklah mudah.
Ramai masih menganggap batik sesuatu yang ketinggalan zaman.
"Cabaran terbesar saya ialah mengubah persepsi orang.
"Saya perlu yakinkan pelanggan bahawa batik boleh kelihatan moden, bergaya dan harmoni dengan ruang," ujarnya.
Bagi Puteh, setiap projek memerlukan perbincangan mendalam bersama klien.
Warna serta corak mesti sesuai dengan konsep rumah dan disinilah peranan kreativiti juga pengalaman memainkan peranan penting supaya hasilnya tidak kelihatan ‘terpaksa’, sebaliknya menyatu dengan ruang.
Batik dijadikan dinding seni, menjadi perbualan tetamu yang berkunjung.
Puteh berpegang pada prinsip bahawa batik tidak perlu mendominasi ruang untuk menonjol.
"Kalau rumah minimalis, saya akan pilih corak yang lebih ringkas. Kalau rumah berwarna neutral, batik yang berwarna terang boleh menjadi wow factor yang menghidupkan ruang."
Beliau mencadangkan pemilik rumah yang masih ragu-ragu untuk bermula dengan barangan kecil seperti alas meja makan, sarung kusyen atau hiasan dinding batik bersaiz kecil.
"Biar ruang itu bercerita sedikit demi sedikit. Dari situ barulah keyakinan datang untuk tambah lebih banyak."
Puteh juga menghasilkan bag daripada hasil seni batik.
Selain berkarya, Puteh aktif menganjurkan bengkel batik.
Peserta berpeluang menyaksikan sendiri keseluruhan proses penghasilan batik bermula daripada mencanting, penggunaan blok batik, mewarna, mematikan warna sehinggalah ke peringkat merebus kain.
"Apabila mereka sendiri melalui dan mencuba setiap proses ini untuk menghasilkan karya, barulah mereka benar-benar memahami betapa rumit dan berharganya setiap helaian batik," katanya.
Melalui bengkel itu, Puteh berharap peserta lebih menghargai batik sebagai seni yang memerlukan masa, ketelitian dan jiwa.
Meja makan tampil mewah dengan alas meja batik custom.
Bagi Puteh, batik bukan sekadar hiasan, tetapi identiti bangsa yang perlu dilindungi.
"Industri ini kecil tetapi ada ruang besar untuk berkembang. Jika ramai anak muda terlibat, kita boleh jadikan batik kebanggaan negara."
Baginya, masa depan batik akan lebih cerah jika ia terus diangkat sebagai elemen seni kontemporari, bukan hanya pakaian rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram