‘Runway’ Dolce & Gabbana jadi set filem The Devil Wears Prada 2, Meryl Streep dan Anna Wintour duduk bertentang mata


  • Gaya
  • Isnin, 29 Sep 2025

Pertemuan antara watak realiti, Anna Wintour (potongan rambut 'bob') dan fiksyen, Meryl Streep menjadi tumpuan ramai. — Instagram/@voguemagazine

MILAN, Itali menjadi saksi momen luar biasa apabila Meryl Streep kembali menghidupkan watak ikonik Miranda Priestly dalam penggambaran sekuel The Devil Wears Prada di pentas peragaan Dolce & Gabbana.

Meryl tampil dengan kaca mata hitam dan trench coat vinyl rekaan rumah fesyen Itali itu sambil diiringi pengawal keselamatan dan ditemani pelakon yang memegang watak pengarah seni dalam filem berkenaan, Stanley Tucci.

Sepanjang pertunjukan fesyen yang diiringi nyanyian artis Itali itu, Patty Pravo, Meryl dan Stanley dilihat berbincang sambil menilai setiap persalinan yang melintasi pentas.

BACA LAGI: 'Culture shock' peroleh gaji RM5,000 sebulan, wanita terjerat hutang RM25,000 akibat gaya hidup ‘Buy Now, Pay Later’

BACA LAGI: [VIDEO] Majlis 'gender reveal' berlangsung meriah, Chryseis Tan umum bakal timang bayi lelaki

Jurucakap Dolce & Gabbana mengesahkan adegan tersebut memang dirakam untuk dimasukkan ke dalam sekuel filem yang kini sedang menjalani penggambaran di Milan.

Lokasi berkenaan sekali gus mengingatkan peminat kepada babak popular filem asal itu apabila watak lakonan Anne Hathaway menjawab telefon dengan berkata 'Boleh anda eja Gabbana?'.

Koleksi musim bunga/panas 2026 yang dipersembahkan menampilkan inspirasi pakaian tidur, termasuk piyama lelaki berhias batu dan sulaman, serta lingerie hitam jarang dan renda.

Penampilan itu dilengkapkan dengan jaket kulit, brokat serta cetakan haiwan, selain kasut yang merangkumi stileto hingga selipar berbulu. Beg lembut dan gebu turut menjadi pilihan utama.

Meryl Streep (berkaca mata hitam bingkai putih) dan Stanley Tucci menyaksikan penutup pertunjukan koleksi Dolce & Gabbana bagi musim bunga/panas 2026 sempena Minggu Fesyen di Milan pada Sabtu lalu. — Agensi

Pertunjukan berakhir dengan para pereka mengambil masa lebih lama daripada biasa ketika tunduk memberi penghormatan, manakala Streep dan Tucci segera dibawa ke belakang pentas. Ketika itu, penonton fesyen bergegas ke pentas kosong untuk merakam detik bersejarah berkenaan.

Detik itu turut mempertemukan watak realiti dan fiksyen apabila Pengarah Editorial Global Vogue, Anna Wintour yang menjadi inspirasi filem 2006 itu duduk bertentangan dengan Meryl yang membawakan watak Miranda.

Sekuel The Devil Wears Prada dijadualkan ditayangkan pada musim bunga tahun depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram