[VIDEO] 'Jangan hirau apa orang kata’, Mariana Tavares dapat sokongan penuh keluarga sebaik bergelar mualaf


  • Bonda
  • Ahad, 28 Sep 2025

Mariana Tavares terharu apabila pemilihannya memeluk agama Islam disambut baik oleh ibu bapanya.

PEMPENGARUH wanita berasal Portugis, Mariana Tavares menjadi perhatian ramai selepas berkongsi momen istimewa bersama ibu bapanya sebaik sahaja beliau mengumumkan dirinya memeluk Islam.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram, Mariana merakam reaksi bapanya ketika mereka berada di dalam kereta. 

Bapanya kelihatan begitu gembira hingga turut memainkan lagu nasyid popular Qalbi Fil Madinah nyanyian Maher Zain dan Harris J, sambil menari kecil mengikut rentak lagu itu.

BACA LAGI: Isteri lulusan PhD, suami hanya SPM, pasangan kongsi 'resipi' bahagia walau beza pendidikan

BACA LAGI: Gosip bersama pasangan adalah ‘bahasa cinta' menguatkan hubungan suami isteri, rahsia 'curhat' lebih selamat

Lebih menyentuh hati, bapanya turut memberi pesanan buat Mariana agar tidak memikirkan soal pandangan orang lain terhadap dirinya. 

"Kamu harus bangga dengan siapa diri kamu. Jangan hiraukan apa orang lain fikir. Mereka tidak memberi kamu sesuap makanan, jadi jangan sekali-kali mendiskriminasi diri sendiri hanya kerana pandangan orang lain," respons bapanya kepada Mariana selepas memilih untuk memeluk agama Islam. 

Mariana kemudian menjelaskan kepada bapanya tentang keputusan besar dalam hidupnya itu. 

Katanya, agama Islam menjawab persoalan yang selama ini berlegar di fikirannya.

"Islam lebih jelas, bahawa Tuhan itu Satu, bukannya tiga. Itu yang membuatkan saya yakin untuk memilih Islam," kata Mariana.

Dalam kapsyen hantaran tersebut, Mariana turut meluahkan rasa syukur atas nasihat bapanya selepas 10 tahun memerhati perubahan dirinya.

"Kita tidak perlu percaya perkara yang sama untuk saling menghormati dan menyayangi. Saya tetap Mariana yang sama, cuma saya ubah fokus penyembahan, daripada menyembah manusia kepada menyembah Pencipta manusia.

"Ini hanyalah perjalanan iman saya, kembali kepada Tuhan. Kamu boleh tidak setuju, itu tidak mengapa, tetapi jangan benci saya kerana ini," tulisnya.

Tidak hanya itu, Mariana baru-baru ini juga berkongsi satu lagi video menyentuh hati apabila ibunya yang masih beragama Kristian membantu membetulkan tudung di kepalanya. 

"Ibu saya beragama Kristian, tetapi tetap bantu saya membetulkan hijab," katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya turut gembira melihat keluarga Mariana memberi sokongan positif kepada anak perempuan mereka. 

"Jika anak saya memilih Islam, saya akan gembira kerana tahu dia hidup dengan maruah, sopan santun, dan bertanggungjawab. Tidak ada pakaian menjolok mata, tidak keluar malam, tidak ada perkara yang merisaukan ibu bapa," kata Sea Shadow

"Setiap bapa, tidak kira bangsa, pasti bahagia melihat anak perempuannya menutup aurat dan hidup dengan penuh kesederhanaan," kata Realtalkz780. 

"Saya memeluk Islam pada 2003 dan sekitar tahun 2017, ayah saya juga memilih Islam. Kita tidak tahu siapa yang akhirnya akan diberi hidayah oleh ALLAH SWT," kata Ali Dez

"Ini kali kedua saya melihat kisah mualaf di mana keluarganya menyokong penuh. MashaAllah! Kebanyakan mualaf yang saya kenal dibuang keluarga sendiri, tanpa sokongan darah daging. Semoga semua mualaf diberi kasih sayang sebegini," kata Sameerah Habibi.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram