
PEMPENGARUH yang juga doktor, Dr. Aishah Budiman berkongsi pengalaman mengejutkan mengenai sikap segelintir anak yang mengabaikan ibu bapa mereka ketika dimasukkan ke hospital, malah sanggup menangguhkan urusan jenazah demi menguruskan anak-anak yang perlu dihantar ke sekolah.
Menurut Dr. Aishah, insiden itu berlaku ketika beliau sedang bertugas mengambil darah seorang pesakit di wad.
"Apabila saya pegang tangan pesakit itu, dah sejuk. Saya terus panggil aunty! Bangun aunty!' tapi tak ada tindak balas langsung.
"Saya semak nadi, pernafasan dan mata, memang pesakit dah meninggal dunia," ceritanya dalam sebuah video yang dimuat naik di media sosialnya.
BACA LAGI: ‘Kain tradisi bukan untuk disimpan’, Cipela angkat tenunan dastar sebahagian gaya fesyen harian
Beliau menjelaskan, keluarga pesakit telah menandatangani borang DNR (Do Not Resuscitate) yang bermaksud pihak hospital tidak perlu melakukan sebarang usaha untuk menghidupkan semula pesakit.
Namun, apa yang mengejutkan beliau ialah reaksi keluarga selepas dimaklumkan tentang kematian ibu mereka.
"Apabila saya hubungi keluarga, mereka kata masih awal pagi, nak hantar anak ke sekolah dulu, lepas pukul 10 baru datang hospital.
"Bukankah sepatutnya kita cepat-cepat ke hospital bila keluarga kita meninggal dunia?" ujar beliau.
Tegas beliau, situasi itu bukanlah kes yang jarang berlaku.
Beliau juga sebelum ini pernah menghadapi situasi di mana keluarga pesakit langsung tidak melawat sepanjang tempoh pesakit berada di wad dan hanya merancang untuk mengambil jenazah esok hari kerana urusan mereka yang lain.
"Sepanjang pesakit admitted, keluarga tak pernah datang. Pesakit pun tak lalu makan, darah rendah, tapi keluarga tetap tidak melawat," katanya menambah, pegawai perubatan kebiasaannya dapat merasai tanda-tanda apabila pesakit hampir menghembuskan nafas terakhir.
Justeru, beliau menitipkan pesan kepada masyarakat agar lebih menghargai kehadiran ibu bapa.
"Untuk sesiapa yang masih ada ibu bapa, jaga mereka elok-elok," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram