
SELEPAS hampir dua tahun menjalinkan hubungan cinta, penyanyi dan pelakon terkenal Hollywood, Selena Gomez akhirnya sah bergelar isteri kepada penerbit muzik ternama, Benny Blanco.
Pasangan itu dilaporkan melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup pada Sabtu, yang disahkan sendiri oleh Selena menerusi hantaran di media sosial.
Hubungan mereka mula menjadi perhatian sejak 2023 apabila Selena dan Benny tampil secara terbuka sebagai pasangan kekasih.
BACA LAGI: Isteri lulusan PhD, suami hanya SPM, pasangan kongsi 'resipi' bahagia walau beza pendidikan
Selena Gomez dan Benny mula menjalin hubungan sejak 2023.
Malah, pada Disember tahun lalu, Selena mengumumkan pertunangan mereka di Instagram, dengan kapsyen ringkas di Instagram berbunyi, "Forever begins now."
Menariknya, kisah cinta pasangan ini berputik sejak sekian lama.
Mereka pertama kali bekerjasama pada 2015 ketika Benny turut menghasilkan single Gomez berjudul Same Old Love.
Kerjasama itu berlanjutan menerusi lagu I Can’t Get Enough (2019) dan Single Soon (2023), sebelum akhirnya mereka melancarkan album bersama, I Said I Love You First, awal tahun ini.
Dalam satu temu bual bersama Jay Shetty pada Mac lalu, Selena mendedahkan bagaimana Benny berjaya mencuri hatinya.
“Apabila Benny memandang saya, dia hanya nampak siapa diri saya yang sebenar dan itu sesuatu yang sangat jarang ditemui,” katanya sambil menyifatkan Benny sebagai sahabat terbaik.
Benny pula tidak pernah lelah meluahkan rasa bangga terhadap isterinya.
“Tenang melihat cara awak berjalan dalam kehidupan, tanpa dipengaruhi hal lain. Cara awak berfikir dan bergerak sebagai seorang wanita memberi inspirasi besar, bukan sahaja kepada saya, malah kepada ramai wanita lain," kata Benny.
Hubungan mesra mereka turut disokong rakan selebriti.
Sahabat karib Selena, Taylor Swift pernah berseloroh mahu menjadi flower girl sewaktu Selena mengumumkan pertunangannya.
Selena pula tidak ketinggalan meraikan kebahagiaan Swift apabila penyanyi Anti-Hero itu bertunang awal tahun ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram