Isteri lulusan PhD, suami hanya SPM, pasangan kongsi 'resipi' bahagia walau beza pendidikan


  • Cinta
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Sikap menerima kekurangan dan kelebihan antara satu sama lain penting dalam rumah tangga. — Gambar Hiasan

PERKAHWINAN bukan sekadar mencari pasangan setaraf dari segi akademik, sebaliknya tentang kesanggupan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. 

Itulah antara mesej dapat dilihat apabila ramai warga maya tampil berkongsi pengalaman berumah tangga dengan pasangan yang berbeza tahap pendidikan.

Ada isteri menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala suami pula hanya belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun mereka tetap hidup harmoni dan saling melengkapi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia

Biarpun berjodohan dengan suami yang tidak berpendidikan tinggi kerana kekangan kewangan, namun berkat rajin berusaha akhirnya berjaya membuka kedai sendiri. — Gambar hiasan

Bagi mereka, nilai sebenar pasangan bukan terletak pada kertas akademik, sebaliknya sikap, tanggungjawab dan usaha bersama dalam membina kehidupan.

Perdebatan itu tercetus selepas seorang wanita mengajukan soalan di media sosial tentang wajar atau tidak meneruskan hubungan dengan lelaki yang jauh lebih rendah tahap pendidikannya.

Persoalan tersebut mengundang pelbagai reaksi bermula daripada kisah rumah tangga yang manis hingga pengalaman getir akibat jurang pemikiran.

Seorang wanita, Zaleha Supian mengakui suaminya tidak berpendidikan tinggi kerana kekangan kewangan keluarga, tetapi rajin berusaha sehingga berjaya membuka kedai sendiri.

Katanya, meskipun beliau sering membantu membetulkan ejaan atau ayat dalam urusan bisnes atas talian, itu tidak pernah dianggap sebagai beban.

“Suami saya mungkin kurang dalam akademik, tapi bijak dalam kehidupan. Dia simpan duit, jaga keluarga, ambil berat pasal staf. Hidup ini kalau rajin, insya-ALLAH berjaya. Pandai sekalipun tapi malas, tak ada faedah,” jelasnya.

Meskipun berbeza taraf pendidikan, suami bersyukur dikurniakan isteri yang tidak pernah menjadikan hal perbezaan akademik sebagai ukuran. — Gambar hiasan

Kisah hampir sama dikongsi oleh Raziff Shaharudin yang hanya berkelulusan diploma, tetapi berjaya mempertahankan rumah tangga dengan isterinya yang memiliki PhD dan berasal daripada keluarga berada.

Menurutnya, walaupun berbeza taraf pendidikan, kemewahan hidup tidak pernah menjadi kayu ukur.

“Dulu saya tak pernah naik kapal terbang, sekarang dah travel lebih 70 negara. Ramai pernah mengata isteri sebab pilih saya, tetapi prinsip dia jelas iaitu rezeki dari ALLAH, bukan daripada pasangan,” katanya yang kini sudah 12 tahun berkahwin.

Namun, ada juga yang mengingatkan bahawa jurang pendidikan mampu mencetuskan cabaran tersendiri.

Mashitah Masharuddin berpendapat ramai lelaki berpendidikan rendah akan berasa inferior lalu menonjolkan ego.

“Memang ada yang bijak walaupun tak belajar tinggi, tapi majoriti bila tahap pemikiran terlalu jauh beza, akan timbul masalah komunikasi. Itu realiti,” tegasnya.

Di sebalik pandangan kritikal itu, ramai lagi tampil mempertahankan pasangan masing-masing.

Antaranya, seorang wanita, Emma Rahman berkata, beliau berbangga dengan suaminya yang berkelulusan SPM, tetapi mempunyai pelbagai sijil kemahiran, malah mampu membina rumah sendiri.

“Dia rajin, ada sijil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Construction Industry Development Board (CIDB), National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH). Ambil tender kecil-kecilan, beli tanah dan buat rumah sendiri. Lesen memandu semua jenis kenderaan pun dia ada, kecuali kereta api dan kapal terbang. Itu sebab saya bangga dengan dia,” katanya.

Sementara itu, Rafizah Rahim yang kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD berkata, walaupun suaminya hanya berkelulusan SPM, tetapi suaminya itu banyak berkorban menjaga anak dan rumah tangga ketika beliau bekerja syif dan belajar jarak jauh.

"Dialah yang jaga anak-anak bila saya kerja shift atau outstation. Dia banyak berkorban untuk saya dan anak-anak. Pada saya, qualification bukan ukuran,” jelasnya.

Mazlina Mat Rabi pula menegaskan faktor pemikiran lebih penting berbanding tahap pendidikan.

“Tak semestinya ada PhD bermakna matang. Saya pernah jumpa yang tinggi kelulusan tetapi common sense sangat rendah. Kalau mindset sama, rajin dan berusaha, itu sudah cukup,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram