
SEORANG pempengaruh daripada Kanada, Sana Saleh yang kini menetap di Malaysia, berkongsi pengalaman mengejutkan mengenai beberapa perkara unik yang ditemuinya sejak berpindah ke negara ini.
Pengasas sebuah jenama hijab itu berkongsi pandangannya melalui sebuah hantaran di Instagram baru-baru ini.
Antara perkara paling menarik perhatiannya ialah keberkesanan perkhidmatan penghantaran makanan di Malaysia.
"Anda benar-benar boleh memasak makanan dan menghantarnya kepada kawan dalam masa 15 hingga 20 minit sahaja," kongi beliau dalam hantaran yang dimuat naik pada Jumaat itu.
Jelas wanita tersebut lagi, pengalaman itu jauh berbeza berbanding Kanada, di mana proses membeli atau menghantar makanan boleh mengambil masa hingga dua jam.
Selain itu, beliau turut kagum dengan budaya komunikasi yang banyak bergantung pada aplikasi WhatsApp di Malaysia yang menurutnya sangat memudahkan urusan seharian.
"Semua orang menggunakan WhatsApp di sini. Pegawai bank, doktor, malah tukang paip juga saya boleh dihubungi hanya dengan mesej," katanya sambil menyifatkan ia adalah game changer.
Katanya lagi, perkara itu menjadikannya lebih mudah mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu melalui panggilan telefon yang panjang atau menunggu lama.
Satu lagi perkara yang dianggapnya luar biasa adalah penggunaan teknologi pembayaran kod QR.
"Anda boleh mengambil kod QR dari akaun bank anda dan dalam satu saat sahaja wang akan masuk ke akaun penerima," ujar beliau.
Ibu kepada tiga orang anak itu menyifatkan sistem pembayaran digital di Malaysia lebih pantas dan praktikal berbanding di Kanada atau Amerika Syarikat yang masih bergantung pada kaedah pembayaran e-mel mengambil masa lebih lama.
Sana menutup perkongsian berkenaan dengan menyatakan bahawa segala kemudahan tersebut menjadikan kehidupannya di Malaysia lebih mudah.
Beliau juga memberi bayangan akan berkongsi lebih banyak perbandingan unik antara Malaysia dan Kanada pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram