Fenomena 'blind box' kini kuasai pasaran kecantikan, berbaloi atau risiko?


  • Gaya
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Di sebalik populariti, pembelian 'beauty blind box' turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesesuaian produk. — Gambar hiasan/Janaan AI

KINI ada satu formula baharu yang semakin popular dalam dunia pemasaran.

Ia mampu mengubah strategi kempen besar dan juga melancarkan produk baharu dengan cara lebih menarik.

Formula itu dikenali sebagai kotak misteri atau lebih sinonim dengan blind box.

BACA LAGI: Lelaki pertahan hak bekas isteri kembali 'free hair', Ustazah Asma' tegas jangan normalisasi bertudung pilihan masing-masing

BACA LAGI: 'Semua info tepat', misteri 5 dekad cari famili angkat wanita warga asing di Kota Bharu makin terungkai

Trend 'Blind box' dijangka kekal lama. — Media sosial

Salah satu contoh ialah Sapo Concho Blind Box, gajet edisi terhad yang dilancarkan penyanyi terkenal Bad Bunny bersama albumnya DeBí TiRAR MáS FOToS.

Ia menimbulkan persoalan, mengapa label penyanyi terkenal dunia memilih untuk mengubah strategi barangan mereka?

Sama seperti fenomena Labubu dan kebangkitan Pop Mart, blind box kini menjadi trend utama dan dijangka kekal lama.

Persoalannya, untuk industri kecantikan, adakah strategi tersebut benar-benar berbaloi?

Kenapa ramai 'menggilakannya'?

Asalnya, konsep ini bermula di Jepun dengan Lucky Bag, iaitu beg kejutan yang dijual pada Tahun Baharu.

Kemudian berkembang menjadi mesin kapsul mainan, Gashapon. Pada 2016, Pop Mart memperkenalkan siri Molly di China dan mencetuskan fenomena besar.

Mengikut kajian oleh Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Shanghai, blind box memberi anak muda rasa kebersamaan, identiti dan pada masa sama menjadi hiburan untuk lari seketika daripada realiti.

Bagaimana blind box tarik pembeli?

Kajian itu menjelaskan daya tarikan blind box melalui model tingkah laku yang dipanggil Hook Model, terdiri daripada tiga fasa merangkumi tindakan, ganjaran dan pelaburan.

1. Tindakan

Produk dalam blind box biasanya kecil seperti patung mini. Harganya lebih murah berbanding figura aksi yang mahal, jadi lebih ramai mampu beli.

Gen Z pula terkenal dengan kuasa beli tinggi dan suka memenuhi keperluan emosi, menjadikan mereka lebih mudah tertarik.

2. Ganjaran

Dengan media sosial, pembeli boleh berkongsi video unboxing dan dapat tanda suka atau perkongsian.

Tambahan pula, ada model biasa dan juga edisi terhad. Contohnya, dalam Bubble Mart, peluang dapat model langka hanya 1 dalam 144.

Perkara itu memberi rasa bangga yang besar kepada pemiliknya.

3. Pelaburan

Apabila pembeli dapat model berulang atau tidak digemari, mereka tetap terus membeli kerana percaya kotak seterusnya akan lebih baik.

Ini menguatkan lagi keterikatan mereka dengan produk.

Walaupun konsep blind box nampak menyeronokkan, ia tetap ada risiko terutama sekali dalam pasaran kecantikan. — Agensi

Adakah konsep ini sesuai untuk dunia solekan?

Industri kecantikan kini mula mencuba trend ini. Contoh terdekat ialah Clarins yang memperkenalkan Plushies, gincu berbentuk patung kecil comel yang dijual dalam blind box.

Selain itu, ada juga jenama yang menghasilkan kotak misteri berisi produk solekan sebenar.

Konsep ini sama seperti kita menonton video unboxing yang dimuat naik oleh pempengaruh, cuma bezanya kali ini pembeli sendiri tidak tahu apa yang ada di dalamnya.

Kolaborasi antara Morphe Cosmetics dan Superdrug misalnya membolehkan pengguna membeli kotak misteri berisi pemerah pipi, bedak atau pembayang mata tanpa mengetahui kesesuaiannya dengan kulit mereka.

Pusat sehenti kecantikan, Sephora juga sudah mula bereksperimen dengan konsep serupa melalui koleksi kotak misteri edisi terhad.

Risiko di sebalik trend

Walaupun konsep blind box nampak menyeronokkan, ia tetap ada risiko.

Syarikat boleh hilang kawalan terhadap pengalaman pengguna kerana produk kecantikan sangat peribadi.

Jenis kulit, tona, alahan dan cita rasa semuanya berbeza. Jika pembeli dapat produk yang tidak sesuai, mereka mudah kecewa dan hilang kepercayaan terhadap jenama.

Dari sudut etika, industri kecantikan juga sering dikritik kerana masalah pembungkusan berlebihan, produk tidak digunakan dan pencemaran.

Fenomena blind box boleh menambah beban ini kerana mendorong pembelian secara impulsif dan tidak mampan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram