Panggung wayang klasik diubah jadi Hotel Jiangnan House, usaha pelihara warisan sejarah


  • Hias
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Sentuhan moden memelihara jiwa warisan lama di Yangzhou.

SEBUAH panggung wayang lama di daerah bersejarah Guangling, Yangzhou, China kini berwajah baharu apabila diubah menjadi hotel moden, Jiangnan House hasil sentuhan kreatif firma seni bina berpangkalan di Beijing, B.L.U.E. Architecture Studio.

Transformasi itu menjadi sebahagian daripada fasa pertama program pembaharuan bandar Guangling Ancient City, dengan Architecture and Engineering Co., Ltd. of Southeast University yang mengawasi perancangan keseluruhan, manakala B.L.U.E. Architecture Studio bertanggungjawab terhadap reka bentuk dalaman utama, pembinaan dua bangunan baharu serta kemasan fasad.

Kolaboratif turut melibatkan kumpulan tempatan seperti Yangjian Group dan Yangzhou Yijiangxuan Garden and Ancient Architecture Construction Co., Ltd., bagi memastikan elemen budaya setempat terus terpelihara.

BACA LAGI: Wanita berisiko tinggi alami masalah kesihatan mental 5 minggu lepas bersalin?

BACA LAGI: Titipan doa indah Raja Muda Selangor buat bakal 'permaisuri' hati, beberapa laluan akan ditutup untuk kelancaran istiadat perkahwinan

Koridor hijau menambahkan ketenangan untuk pengalaman menginap.

Lobi utama hotel ditempatkan di kawasan auditorium panggung wayang Subei.

Struktur bumbung kayu asal dikekalkan bagi menonjolkan ketinggian ruang, manakala skrin baharu dipasang sebagai simbolik kepada sejarah bangunan ini.

Reka bentuk dalaman menampilkan elemen klasik taman tradisional Yangzhou dengan kolam pokok di tengah dan laluan berbumbung yang mengingatkan kepada susun atur halaman rumah lama.

Palet bahan semula jadi seperti kayu elm tua, lantai batu semula jadi, venir kayu gergaji serta terrazzo dipadankan dengan kelengkapan logam vintaj yang diinspirasikan daripada pawagam bersejarah.

Lebih istimewa, seniman tempatan menghasilkan ukiran kayu berlatarkan adegan filem klasik untuk menguatkan lagi identiti sinematik asalnya.

Ruang lobi tinggi mengekalkan keanggunan sejarah panggung wayang lama.

Jiangnan House menempatkan 40 bilik tetamu, sebahagiannya berada dalam bangunan bersejarah yang dikekalkan dan sebahagiannya di dua blok baharu.

Reka bentuk blok tambahan itu diinspirasikan daripada pavilion dan teres klasik Yangzhou, lengkap dengan koridor mengalir serta bumbung berlapis yang mencipta ilusi pergerakan dan perspektif berbeza.

Penggunaan bata kitar semula, konkrit bercetak buluh dan jubin batu ukiran tangan menyatukan teknik moden dengan tekstur seni bina lama Yangzhou.

Walaupun struktur kayu dan fasad asal masih dipelihara, setiap bilik dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa, pemanas dan bilik mandi en suite.

Bangunan baharu diinspirasikan daripada pavilion dan teres tradisional.

Bahan semula jadi seperti kayu, batu, bata buatan tangan dan plaster bertekstur digunakan bagi mengekalkan suasana autentik.

Perincian lain termasuk panel kayu buatan tangan, permukaan tembaga bertekstur serta cetakan kayu blok yang mencerminkan tradisi kraf Yangzhou.

Tambahan tanaman hijau menegak di sepanjang koridor menjadikan suasana lebih tenang dan menyegarkan pengalaman tetamu.

Bilik tetamu menampilkan gabungan kayu, batu, dan tekstur semula jadi.

Projek Jiangnan House itu bukan sekadar mengubah sebuah bangunan lama menjadi hotel moden, tetapi juga membuktikan bagaimana seni bina adaptif mampu menghubungkan warisan dengan keperluan semasa.

Dengan mengekalkan identiti asal sambil memperkenalkan elemen kontemporari, B.L.U.E. Architecture Studio berjaya menghasilkan ruang yang bukan sahaja indah secara estetik tetapi juga bermakna dari segi sejarah dan budaya.

Inisiatif sebegini memberi inspirasi kepada dunia seni bina bahawa setiap bangunan lama berpotensi untuk dilahirkan semula, membawa cerita lampau ke dalam kehidupan moden dengan penuh penghormatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram