Anggap anak demam biasa, rupanya alami sepsis 'pembunuh' senyap, perhati tanda-tanda awal ini


  • Bonda
  • Rabu, 24 Sep 2025

Sentiasa periksa suhu badan aak-anak sama ada terlampau panas ataupun terlalu sejuk kerana ia berisiko tanda awal alami sepsis. — Gambar hiasan/Freepik

BAYANGKAN pagi yang biasanya riuh dengan suara si kecil, tiba-tiba bertukar sunyi.

Anak anda tidak lagi berlari ke kotak mainan, tiada senyuman, hanya renungan kosong.

"Ah, mungkin selesema biasa," bisik hati.

BACA LAGI: [VIDEO] Tangan 'berseni' Kazuki Nakajima terjemah emosi, karya agung Van Gogh dalam gubahan bunga

BACA LAGI: [VIDEO] Hiasan kraf tropika daun pandan buat meja makan lebih 'hidup', bangkit mood sensorial ketika jamu selera

Namun apabila menjelang malam, rasa tidak sedap hati semakin kuat.

Naluri itu bukan sekadar kebimbangan seorang ibu atau ayah namun ia mungkin amaran awal sepsis, 'pembunuh' senyap yang sering dipandang ringan.

Sepsis atau keracunan darah berlaku apabila sistem imun tubuh bertindak keterlaluan melawan jangkitan.

Apa yang bermula dengan batuk, sakit perut atau demam ringan boleh bertukar menjadi keradangan menyeluruh dan kegagalan organ hanya dalam beberapa jam.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 49 juta kes sepsis direkodkan setiap tahun dengan 11 juta kematian.

Lebih mengejutkan separuh daripadanya kanak-kanak bawah lima tahun.

Di Malaysia, isu itu semakin membimbangkan kerana antara 2015 hingga 2020, hampir 1,000 kes sepsis awal pada bayi direkodkan oleh Malaysian National Neonatal Registry, kebanyakannya berpunca daripada jangkitan Group B Streptococcus.

Simptom-simptom sepsis.

Pakar Perunding Pediatrik dan Intensivis, Dr Olive Lee Pei Ee, menegaskan sepsis sering mengelirukan kerana ia bermula dengan tanda-tanda halus.

"Sepsis bukan sekadar jangkitan. Ia ibarat percikan kecil yang boleh membakar seluruh hutan. Kadang-kadang hanya bermula dengan batuk musim selesema, tetapi boleh jadi ancaman nyawa," jelasnya.

Cabaran paling besar ialah mengenal pasti tanda awal kerana kanak-kanak tidak mampu menyuarakan kesakitan mereka.

"Kanak-kanak tak boleh cakap 'saya sakit'. Jadi kadangkala petunjuknya hanya biasa seperti anak kelihatan lebih letih, lebih murung atau tidak seperti diri mereka," kata Dr Lee.

Tanda awal yang tidak boleh dipandang ringan:

  • Anak terlalu mengantuk atau sukar dikejutkan.
  • Muntah berulang dan menolak semua makanan/minuman.
  • Nafas laju atau tercungap-cungap.
  • Suhu badan melampau panas atau terlalu sejuk.
  • Tubuh lembik, tidak bermaya, atau kelihatan keliru.

"Jika anak tiba-tiba lembik dan suhu terlalu panas atau terlalu sejuk, terus ke hospital. Jangan tunggu," tegas Dr Lee.

Beliau mengingatkan bahawa masa adalah segalanya apabila sepsis merebak, ia bergerak pantas.

Pencegahan bermula dari rumah

  • Langkah paling berkesan untuk melawan sepsis ialah pencegahan.
  • Amalkan kebersihan tangan dan penyediaan makanan selamat.
  • Pastikan vaksinasi lengkap untuk lindungi anak kecil.
  • Elakkan penyalahgunaan antibiotik kerana ia boleh mewujudkan kerintangan dan menyukarkan rawatan.

"Vaksinasi bukan hanya untuk anak, tetapi juga orang sekeliling. Bila ahli keluarga divaksin, mereka jadi benteng perlindungan untuk si kecil yang masih terlalu muda untuk menerima vaksin tertentu," jelas Dr Lee.

Bagi kanak-kanak yang berjaya pulih, perjalanan tidak berhenti di situ.

Mereka berisiko mengalami 'post-sepsis syndrome' iaitu kelemahan otot, trauma emosi, masalah perkembangan, malah ada yang memerlukan pemantauan fungsi organ dalam jangka panjang.

Golongan bayi baru lahir, anak obes dan mereka yang ada penyakit kronik adalah paling terdedah.

Dr Lee mengingatkan ibu bapa agar tidak menunggu sehingga terlambat.

"Dalam budaya kita, kadang-kadang kita suka tunggu dan lihat dulu. Tetapi dengan sepsis, lewat boleh membawa maut.

"Percayalah pada naluri anda jika anak nampak berbeza, jangan abaikan. Pergi dapatkan bantuan segera.

"Gerak hati ibu bapa boleh jadi penyelamat nyawa anak," tegasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram