
WANITA didapati berisiko lebih tinggi mengalami dua masalah kesihatan mental utama dalam tempoh beberapa minggu selepas melahirkan anak, menurut satu analisis besar yang diterbitkan dalam jurnal Molecular Psychiatry.
Kajian melibatkan hampir 1.8 juta kelahiran di Sweden antara 2003 hingga 2019 itu menunjukkan risiko kemurungan meningkat kira-kira 20 peratus dalam tempoh lima hingga 15 minggu selepas bersalin berbanding setahun sebelum kehamilan.
Lebih membimbangkan, risiko psikosis selepas bersalin meningkat sehingga enam hingga tujuh kali ganda dalam lima minggu pertama selepas melahirkan dan kekal dua kali lebih tinggi sehingga minggu ke-20.
Tidak seperti baby blues, perubahan emosi ringan dan sementara selepas melahirkan psikosis selepas bersalin merupakan gangguan mental serius dengan simptom seperti delusi, halusinasi, mania, kemurungan teruk dan kekeliruan.
Namun, wanita boleh pulih sepenuhnya jika mendapat rawatan yang tepat.
"Peningkatan mendadak selepas bersalin jelas menunjukkan tahap kerentanan yang tinggi dalam kalangan ibu baharu," tulis para penyelidik.
Sokongan emosi penting bagi kesihatan mental ibu baharu. — Gambar hiasan
Menariknya, jumlah diagnosis masalah mental didapati menurun ketika kehamilan, tetapi meningkat semula selepas bersalin, terutamanya bagi kemurungan dan psikosis.
Sebaliknya, wanita hamil dan selepas bersalin kurang didiagnos dengan masalah seperti kebimbangan, stres atau penyalahgunaan bahan berbanding sebelum mengandung.
Para penyelidik percaya ia mungkin disebabkan gabungan faktor biologi dan gaya hidup.
Selain itu, wanita hamil juga lebih kerap berjumpa doktor, sekali gus memberi peluang untuk mengenal pasti masalah kesihatan mental lebih awal sebelum menjadi serius.
"Kami tidak lihat peningkatan jumlah pesakit baharu, tetapi saringan yang lebih baik membolehkan wanita dikenal pasti lebih awal dan tidak perlu menderita lebih lama sebelum mendapat bantuan," jelas Emma Bränn, penyelidik daripada Karolinska Institutet.
Pakar tekankan rawatan awal mampu pulihkan sepenuhnya ibu terkesan. — Gambar hiasan
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di peringkat global sekitar 10 peratus wanita hamil dan 13 peratus wanita selepas bersalin mengalami gangguan mental, kebanyakannya kemurungan.
Namun begitu, kajian lain dari Karolinska Institutet mendapati ibu di Sweden sebenarnya kurang melakukan cubaan bunuh diri dalam tempoh selepas melahirkan berbanding sebelum itu.
Menariknya, walaupun dalam populasi umum Sweden wanita lebih cenderung membuat cubaan bunuh diri berbanding lelaki, tetapi ketika hamil dan selepas bersalin, risiko itu menurun.
Malah ia lebih rendah berbanding golongan bapa.
"Walaupun cubaan bunuh diri selepas kehamilan jarang berlaku, ia boleh membawa kesan buruk yang besar dan kebanyakannya boleh dicegah," kata Yihui Yang, penyelidik yang terlibat dalam kajian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram