Katrina Kaif bakal timang anak sulung pada usia 42 tahun, pakar O&G dedah pro, kontra hamil lewat umur


  • Bonda
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Katrina berseri menantikan anak pertama dengan sokongan perubatan moden.

MELAHIRKAN bayi sulung pada usia 42 tahun adakah berisiko pada kondisi ibu?

Nampaknya pelakon Bollywood, Katrina Kaif menambah senarai selebriti seperti Salma Hayek dan Halle Berry yang membuktikan usia bukan penghalang untuk bergelar ibu.

Dengan kemajuan perubatan moden dan kesedaran tentang kesihatan, kehamilan lewat usia pada hari ini bukan lagi sesuatu yang asing.

BACA LAGI: Erra Fazira perjelas sebab lepaskan hak penjagaan anak kepada bekas suami

BACA LAGI: Bintang Indonesia ke mahkamah tuntut nafkah anak sebanyak 2.5 sen, sambil melaram beg nilai RM1 juta

Pun demikian, adakah ia benar-benar selamat? Pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) mendedahkan bagaimana wanita moden termasuk Katrina, memilih untuk menikmati proses menjadi ibu pada usia matang dengan keyakinan dan penjagaan rapi.

Katrina kini berusia 42 tahun dan sedang menantikan kelahiran anak pertamanya bersama suami, Vicky Kaushal.

Seperti ramai selebriti lain, keputusan Katrina untuk memulakan keluarga pada usia itu mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kerjaya gemilangnya dalam filem seperti Ek Tha Tiger dan Dhoom 3, kestabilan kewangan, serta kesiapan emosi.

Data Sensus AS 2022 menunjukkan bahawa kadar kelahiran menurun dalam kalangan wanita muda, tetapi meningkat untuk wanita berusia lebih matang, mencerminkan perubahan trend global yang mana wanita kini lebih selesa menangguhkan kehamilan atas pelbagai sebab peribadi dan profesional.

Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Indraprastha Apollo, India, Dr. Neelam Suri, berkongsi, "Semakin ramai wanita kini memilih untuk mempunyai anak pada usia lewat kerana mereka mengutamakan kerjaya, kewangan atau kesiapan peribadi sebelum memulakan keluarga."

Menurut beliau, kehamilan pada usia 40-an bukan lagi perkara luar biasa dan hasil penjagaan perubatan yang betul, ramai wanita mencapai hasil positif.

"Walaupun risiko lebih tinggi berbanding kehamilan pada usia 20-an atau awal 30-an, perancangan teliti, pemeriksaan berkala dan gaya hidup sihat boleh menjamin keselamatan ibu dan bayi," tambah Dr. Suri.

Kemajuan dalam teknologi pembiakan seperti fertilisasi in vitro (IVF) juga memudahkan wanita berusia lewat 30-an dan 40-an untuk hamil.

Namun, Dr. Suri menegaskan bahawa kesuburan semula jadi menurun selepas usia 35 akibat penurunan bilangan dan kualiti telur.

"Ini menjadikan pembuahan lebih mencabar dan sesetengah wanita mungkin memerlukan sokongan perubatan seperti IVF," jelas beliau.

Risiko kepada ibu

Kehamilan selepas usia 35 membawa risiko seperti diabetes gestasi, hipertensi dan preeklampsia.

"Terdapat juga kemungkinan lebih tinggi untuk bersalin secara pembedahan cesarean kerana komplikasi semasa kelahiran.

"Pemeriksaan pranatal yang kerap dan pengesanan awal amat penting untuk mengurangkan risiko ini," kata Dr. Suri.

Risiko kepada bayi

Menurut Dr. Suri, bayi dilahirkan oleh ibu berusia 'matang' berisiko lebih tinggi mengalami kelainan kromosom seperti sindrom Down, selain kelahiran pramatang atau berat badan rendah.

Namun, beliau menekankan bahawa kemajuan dalam ujian saringan dan diagnostik pranatal membolehkan risiko itu dikesan dan diurus dengan baik.

Walaupun terdapat cabaran, Dr. Suri menegaskan bahawa ramai wanita pada usia lewat 30-an dan 40-an menikmati kehamilan yang sihat dan selamat.

Antara faktor menyumbang kepada kejayaan itu termasuk:

  • Perancangan sebelum hamil: Berunding dengan doktor untuk menilai kesihatan keseluruhan dan menangani sebarang masalah perubatan sedia ada.
  • Pemeriksaan pranatal berkala: Pemantauan kerap membantu mengesan dan mengurus komplikasi dengan cepat.
  • Gaya hidup sihat: Diet seimbang, senaman sederhana, mengekalkan berat badan ideal, serta mengelak alkohol dan merokok amat penting untuk kesihatan ibu dan bayi.
  • Kesejahteraan emosi: Pengurusan stres dan sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam memastikan perjalanan kehamilan yang lancar.

Namun, Dr. Suri menasihati, "Maklumat ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja. Berbual dengan doktor untuk nasihat perubatan yang sesuai dengan keadaan anda." — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram