
DALAM dunia selebriti yang sering diwarnai kemewahan dan drama, kisah Tasya Farasya kini menjadi tumpuan hangat di kalangan peminat Malaysia dan Indonesia.
Pada 24 September 2025, pempengaruh kecantikan terkenal itu menghadiri sidang perceraian pertamanya di Mahkamah Agama Jakarta Selatan dengan gaya yang luar dari jangkaan ramai.
Tasya membawa beg tangan Himalayan Birkin edisi terhad bernilai kira-kira RM1 juta, sambil mengemukakan tuntutan nafkah anak yang hanya bernilai 2.5 sen (bersamaan Rp100).
BACA LAGI: Wanita berisiko tinggi alami masalah kesihatan mental 5 minggu lepas bersalin?
Tindakan simbolik itu bukan sahaja mengejutkan ramai, malah menjadi tamparan emosi kepada bekas suaminya, Ahmad Assegaf, atas dakwaan kegagalan memenuhi tanggungjawab sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka.
Tasya Farasya, atau nama sebenar Lulu Farassiya Teisa, dilahirkan pada 1996 di Jakarta, Indonesia.
Dibesarkan oleh ibu yang berjaya sebagai usahawan, Tasya bersama dua adik-beradiknya menikmati pendidikan yang kukuh, walaupun tanpa sosok seorang ayah.
Populariti Tasya melonjak pada 2015 apabila beliau mula aktif sebagai vlogger kecantikan di YouTube dan Instagram, dengan saluran @tasyafarasya yang kini mempunyai lebih empat juta pengikut.
Sebagai pakar solekan dan penjaga imej, Tasya terkenal dengan tutorial perhiasan mewah, ulasan produk premium dan gaya hidup glamor yang menggabungkan elemen budaya Indonesia dengan jenama antarabangsa.
Beliau juga menubuhkan jenama kosmetik sendiri, Tasya Farasya Beauty, yang menjadi empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit.
Penampilan beliau di New York Fashion Week dan kerjasama dengan jenama seperti Dior menjadikannya antara ikon kecantikan di Asia Tenggara.
Walaupun kaya, Tasya jarang mendedahkan kisah peribadinya sehingga kini, perceraiannya menjadi 'filem terlaris' yang tidak dijangka terutama di Indonesia.
Tasya bertemu Ahmad Assegaf, seorang ahli perniagaan pada 2017 dan mereka berkahwin pada 18 Februari 2018 dalam majlis mewah yang berlangsung tujuh hari tujuh malam di Jakarta.
Majlis itu menjadi impian ramai, dengan tetamu VIP dan kos melebihi RM10 juta.
Dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Maryam Eliza Khair Assegaf (lelaki) dan Hasan Isa Assegaf (perempuan), yang kini menjadi tumpuan perebutan hak penjagaan.
Namun, di sebalik kemewahan itu, retakan pencintaan mereka mula kelihatan.
Menurut peguam Tasya, M. Fattah Riphat dan Sangun Ragahdo, sejak awal perkahwinan, Tasya tidak pernah menerima nafkah zahir atau batin yang sewajarnya daripada Ahmad.
"Puan Tasya merasakan tiada nafkah sepanjang perkahwinan," kata Fattah, sambil menambah bahawa punca utama adalah kehilangan kepercayaan akibat dakwaan suaminya telah menyeleweng dana perniagaan.
Pada 10 September lalu, Ahmad melafazkan talak dan Tasya mendaftarkan perceraian melalui e-court pada 12 September.
Kes penceraian itu menjadi viral di media sosial, terutama di Threads, yang mana peminat Malaysia dan Indonesia bergurau tentang perbezaan antara beg RM1 juta Tasya dan tuntutan 2.5 sen.
Ramai menggangap ia merupakan simbol tamparan ego kepada seorang lelaki.
Sementara itu, Tasya sendiri bertindak balas di Threads selepas penceritaan awal dengan nada bercampur sedih, lega dan syukur.
Beliau menulis, "Semalam semua mata tertumpu kepada perceraianku, seolah-olah aku sedang mempersembahkan filem terlaris. Bezanya, yang menangis aku, yang lega juga aku. Kamu hanya menonton, tak tahu sama ada anda makan popcorn atau tidak."
Kemudian, beliau menambah, "Terima kasih kepada semua yang menjadi penonton filem terlaris perceraianku. Kesedihan yang anda nampak, kelegaan hanya aku yang rasa. Tetapi kebersamaan kita membuatkan aku kuat. Jangan memandang rendah dengan kuasa kata-kata." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram