[VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia


  • Cinta
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Bagi Maisarah (gambar kecil) setiap ukiran henna bukan sekadar corak, tetapi lambang kasih dan cinta yang mekar. — Gambar @myhennaaa

DI sebalik wajah pengantin berseri pada hari bahagia, ada sentuhan seni yang menjadikan suasana lebih manis.

Bagi Maisarah Kamaruddin Jana, setiap ukiran henna diterapkan bukan sekadar corak, tetapi lambang kasih dan cinta yang mekar sepanjang meraikan hari istimewa.

Berbekalkan bakat seni dan ketekunan, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Banting, Selangor itu kini menjana pendapatan dengan melukis henna dari rumah ke rumah sejak 2022.

Kawasan liputannya merangkumi Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan.

“Lazimnya, pengantin menggunakan khidmat henna saya ke rumah untuk majlis perkahwinan atau pertunangan. Kadang-kadang ada juga jemputan untuk acara lain. Macam-macam design saya hasilkan seperti bunga, daun atau gabungan corak kreatif mengikut cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui Majoriti pada acara Brew, Beat, Bersama — a Merdeka-inspired coffee + culture experience di Putrajaya.

BACA LAGI: Walau serumpun, rupanya banyak 'detail' kecil yang bezakan wanita Malaysia dan Indonesia

BACA LAGI: Gara-gara sebutan nama negara hampir sama, 2 TikToker wanita silap naik penerbangan, mahu ke Nice tetapi pesawat mendarat di Tunis

Menurut wanita berusia 27 tahun itu kerana kebanyakan pelanggan 'menemuinya' pelanggannya diperoleh sendiri melalui tempahan di media sosial.

“Ramai DM di Instagram, malah di TikTok pun ada,” ujarnya yang kini mempunyai lebih 11,000 pengikut.

Maisarah (kanan) akan bergabung dengan Fatehah jika perlu melukis inai pengantin dan ahli keluarga lain.

Jika pengantin ingin ahli keluarga lain turut dilukis henna, kebiasaannya Maisarah akan membawa rakannya, Fatehah Zulkifli, yang turut menawarkan servis sama.

“Kami jumpa pada satu acara, tak sangka menjadi sahabat dan kini  lepas itu jadi kawan dan selalu buat kolaborasi,” katanya.

Bercerita tentang inspirasi rekaan, Maisarah banyak merujuk gambar di TikTok atau Pinterest bagi mendapatkan ilham mereka corak baharu.

Kadangkala, pengantin sendiri membawa lakaran rekaan yang diingini.

Namun, bukan semua pengalaman berjalan lancar. Ada juga detik melucukan ketika melukis henna.

“Pernah sekali pengantin guna inai natural, jadi kena tunggu 8 jam baru boleh basuh. Dia tertidur sehingga bangun esoknya inai rosak.

"Pun begitu, saya cover semula corak dengan touch up menggunakan inai segera,” katanya.

Maisarah turut berkongsi, warna dan ketahanan inai sangat dipengaruhi faktor kulit, peluh dan suhu bilik.

“Kalau tangan cepat berpeluh, inai boleh hilang dalam dua atau tiga hari sahaja. Suhu bilik juga main peranan, kalau aircond terlalu sejuk, inai tak ‘meresap’.

"Sebab itu, kadangkala saya guna hair dryer untuk mempercepatkan proses pengeringan,” jelasnya.

Antara cabaran lain adalah kehadiran produk inai pelekat (sticker).

“Saya pernah berdepan dengan pelanggan yang mempertikaikan harga antara lukisan henna saya dengan inai pelekat disifatkan jauh lebih murah. Bagi saya harga bukan pada inai semata-mata, tapi servis dan seni dihasilkan.

"Walaupun begitu, masih ramai yang menghargai keindahan inai lukis berbanding sticker,” katanya.

Dalam pada itu, Maisarah turut menjelaskan, pilihan warna turut dipengaruhi tona kulit pengantin.

“Kalau kulit cerah, sesuai guna merah hati manakala sawo matang warna merah lebih menyerlah, namun kedua-duanya tetap cantik,” jelasnya.

Bagi Maisarah, kepuasan sebenar adalah apabila melihat pengantin tersenyum dengan hasil karyanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram