[VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'


  • Cinta
  • Selasa, 16 Sep 2025

Jie Xin membawa kelainan pada hari bahagia pasangan pengantin dengan menghasilkan lukisan secara live ketika majlis berlangsung.

BAGI kebanyakan pasangan mempelai, jurufoto atau videografi sudah cukup untuk mengabadikan momen bahagia mereka. 

Namun, seorang gadis berbangsa Cina, Ng Jie Xin membawa kelainan pada hari bahagia pasangan pengantin dengan menghasilkan live wedding painting iaitu lukisan secara langsung ketika majlis berlangsung.

Bakat seni yang dimilikinya membolehkan beliau melakar suasana majlis perkahwinan terus di atas kanvas, lengkap dengan pelamin, tetamu dan pasangan pengantin.

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Menariknya, servis ditawarkan bukan sahaja diterima oleh pasangan pengantin Cina, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan pengantin Melayu, India dan Singh.

“Saya mula buat bisnes ini sejak 2023. Dari kecil memang minat melukis... habis dinding rumah dan buku mak penuh contengan. 

"Dulu saya banyak lukis potret dan kebiasaannya klien cari saya melalui Instagram. Dari situlah saya dapat idea untuk cuba buat live painting di majlis kahwin,” katanya kepada Majoriti.

Menurut Jie Xin dekorasi menarik, pelamin cantik dan pakaian pengantin antara elemen mempengaruhi hasil akhir lukisannya.

Bagi Jie Xin, setiap perkahwinan punya cerita dan keindahan tersendiri.

Misalnya, majlis perkahwinan India membuka pengalaman baharu buatnya kerana dapat melihat dengan dekat adat unik masyarakat tersebut.

Sementara itu, majlis perkahwinan Cina pula berbeza-beza iaitu ada yang mengekalkan tradisi, ada juga yang memilih konsep mewah.

“Saya suka apabila dekorasi majlis menarik, contohnya pelamin berbentuk mossy forest. Lukisan jadi lebih hidup. Malah pakaian pengantin juga mempengaruhi hasil akhir lukisan,” jelasnya.

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Jie Xin juga pernah menerima pelanggan yang menetap di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Pahang.

"Kalau ada orang pelanggan panggil untuk turun ke lokasi, saya pergilah," katanya. 

Jie Xin berharap seni live wedding painting berpotensi berkembang lebih luas di Malaysia, seiring popularitinya di luar negara.

“Dekat luar negara, live wedding painting ini memang sudah terkenal. Tapi dekat Malaysia, masih ramai belum tahu. Harapan saya, seni ini boleh jadi pilihan pasangan pengantin untuk mengabadikan kenangan perkahwinan dengan cara lebih unik,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian), Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain majlis perkahwinan, beliau turut menerima permintaan untuk menghasilkan live painting bagi pelbagai acara lain mengikut kehendak klien. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram