[VIDEO] Kisah Putera Iman tarik perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, yuran pengajian di UUM ditanggung penuh, Program Sulung jadi sinar harapan


  • Bonda
  • Rabu, 24 Sep 2025

Tangkap layar Dr. Zambry menghubungi Putera yang kini mendaftar di UUM melalui panggilan video dan menitipkan pesanan supaya tekun belajar dan kembali menyumbang pada masyarakat serta negara.

HARI pendaftaran mahasiswa baharu di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, biasanya dipenuhi gelak tawa, pelukan dan wajah ceria ibu bapa yang menghantar anak mereka ke menara gading.

Namun, suasana itu berbeza buat penuntut baharu bernama Putera Iman Shah Shahiran yang berusia 19 tahun.

Beliau hadir seorang diri, melangkah dengan hati yang sarat rindu, hanya ditemani memori arwah ibu dan ayah yang sudah pergi menghadap IILAHI.

BACA LAGI: [VIDEO] Hiasan kraf tropika daun pandan buat meja makan lebih 'hidup', bangkit mood sensorial ketika jamu selera

BACA LAGI: Fenomena Gen Z berbelanja besar untuk dekorasi estetik, rumah cantik, konten media sosial pun menarik

Detik yang sepatutnya diraikan dengan penuh kebahagiaan itu bertukar menjadi ujian berat buat Putera.

Bukan mudah bagi seorang anak muda yang baru kehilangan ayah beberapa minggu lalu, selepas sebelumnya merasai kepedihan ditinggalkan ibu sejak 2019.

Namun, Putera tetap memilih untuk berdiri teguh, memulakan langkah baharu sebagai mahasiswa UUM.

Kisah menyayat hati itu tular selepas dikongsikan oleh laman rasmi UUM, sehingga mencuri perhatian ramai termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang segera menghubungi Putera melalui panggilan video sebelum bermulanya mesyuarat kabinet.

"Mendengar kisah Putera benar-benar menyentuh hati. Dalam usianya yang masih muda, beliau telah kehilangan kedua-dua ibu bapa, namun tetap berusaha hadir mendaftar sebagai mahasiswa baharu," kata Zambry.

Beliau turut menitipkan pesanan agar Putera tidak patah semangat, belajar bersungguh-sungguh dan percaya bahawa masa hadapan yang cerah menantinya.

Perhatian itu bukan sekadar kata-kata semangat, tetapi hadir bersama jaminan sokongan.

Dengan maklumat yang diterima, pihak UUM segera menjejaki Putera dan membantu dalam segala urusan pendaftaran.

Melalui Program Sulung, yuran pengajian Putera ditanggung sepenuhnya sehingga tamat pengajian, selain kemudahan komputer riba dan elaun bulanan bagi memastikan beliau mampu meneruskan kehidupan kampus dengan lebih baik.

Putera bukan sekadar mahasiswa baharu, tetapi contoh nyata ketabahan seorang anak muda yang diuji berkali-kali oleh kehilangan.

Ibunya, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid, pergi meninggalkan dunia ketika beliau baru berusia 13 tahun.

Sejak itu, ayahnya, Shahiran Pake Chi, menjadi tempat bergantung.

Namun, pada Ogos lalu, ayahnya pula menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, meninggalkan Putera bersendirian menghadapi dunia.

Walau pilu, Putera memilih untuk terus melangkah.

Tiba di stesen sekitar pukul 12.15 tengah hari untuk memulakan perjalanan ke UUM, beliau berdiri seorang diri tanpa sesiapa menemani, sebaliknya berpaut kepada kekuatan doa dan memori insan tersayang.

Menteri Pendidikan Tinggi dalam pesannya turut menekankan bahawa setiap pelajar yang menghadapi kesulitan tidak perlu gusar untuk meminta bantuan, kerana universiti dan kementerian sentiasa bersedia membantu.

"Yang penting, belajar dengan tekun dan apabila berjaya kelak, kembalilah menyumbang kepada masyarakat serta negara," ujarnya.

Untuk rekod, Program Sulung menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada individu pertama daripada keluarga B40 yang diterima melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam dalam negara yang belum ada dalam kalangan adik-beradik melanjutkan pengajian di peringkat tersebut.

Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi itu bertujuan meningkatkan mobiliti sosial serta taraf dan kualiti hidup pelajar dalam kalangan keluarga B40 ke satu tahap yang lebih baik melalui akses serta pembiayaan kepada pendidikan tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram