
SENTUHAN kreatif seorang pengubah bunga juga merupakan artis seni kelahiran Jepun, Kazuki Nakajima, berjaya membawa dunia lukisan ke dalam gubahan bunganya.
Beliau tidak hanya melihat bunga sebagai elemen dekorasi, sebaliknya sebagai medium untuk menterjemahkan emosi, warna dan tekstur daripada lukisan ke dalam bentuk nyata.
Setiap jambangan dihasilkan seolah-olah hidup, seakan terputik dari kanvas lukisan yang penuh cerita.
Keindahan itu jelas terlihat apabila Nakajima menghasilkan bunga berinspirasikan lukisan lautan dan ombak.
Pilihan bunga berona biru lembut dipadu dengan warna krim seakan buih ombak, memberi gambaran ketenangan pantai yang sesekali digoncang oleh angin.
Gubahan itu seakan menghidupkan bunyi ombak yang memukul pantai, menyalin suasana damai sekali gus dinamik terakam di dalam lukisan tersebut.
Lebih menarik, beliau turut mengambil inspirasi daripada lukisan seorang ibu dan anak yang menggambarkan emosi windy tenang, tetapi ada hembusan perasaan yang sukar digambarkan.
Kazuki Nakajima tidak hanya melihat bunga sebagai elemen dekorasi, sebaliknya sebagai medium menterjemahkan emosi, warna dan tekstur daripada lukisan ke dalam bentuk nyata.
Pilihan bunga berwarna biru, hijau dan rona natural menyerlahkan aura kelembutan seorang ibu bersama anaknya di tengah hamparan hijau.
Namun pada masa sama menyelitkan kekuatan yang tersembunyi.
Gubahan itu bukan sekadar cantik dipandang, malah membawa penonton menyelami getar jiwa di sebalik lukisan yang menginspirasikannya.
Dalam siri gubahan bunga yang lain, Nakajima memberi penghormatan kepada pelukis-pelukis dunia dengan menterjemah karya agung mereka.
Salah satunya, jambangan bunga inspirasi lukisan The Starry Night hasil artisan hebat, Van Gogh yang menggunakan bunga sweet peas royal blue dan sorairo.
Ini termasuklah, gubahan bunga rona jingga, kuning dan merah jambu diolah berpaksikan karya Paul Klee, menampilkan kesegaran dan energi abstrak.
Gubahan seterusnya pula diinspirasikan oleh Alphonse Mucha dengan gaya Art Nouveau iaitu bunga bernuansa earthy, burgundy, keemasan dan pastel yang melambangkan keanggunan feminin serta kehalusan dekoratif.
Nakajima pastinya berpegang pada falsafah bahawa setiap bunga membawa personaliti tersendiri.
Warna dan bentuk bunga bukan dipilih secara bershaja, tetapi dengan teliti untuk menyampaikan maksud emosi dalam setiap lukisan.
Lukisan bertemakan laut diterjemah dengan bunga yang seolah mengalun seperti gelombang, manakala karya bertemakan kasih sayang ibu dan anak diolah mengggunakan bunga warna lembut dan rapat mengisi ruang simbolik pada pelukan erat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram