Wanita berkulit hitam manis, pesona wajah Melayu asli jadi pilihan kerabat diraja


  • Gaya
  • Khamis, 25 Sep 2025

Antara kerabat diraja yang memilih pasangan wanita berkulit hitam manis.

DI Malaysia, kesedaran mengenai kecantikan semula jadi semakin meningkat dengan ramai wanita mula menghargai kulit asal mereka tanpa bergantung kepada produk pemutih.

Bahkan, beberapa kerabat diraja turut memilih pasangan wanita berkulit hitam manis, menunjukkan bahawa nilai diri dan keperibadian lebih penting daripada tona kulit semata-mata.

Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial, Shareena Khan berkongsi pengalamannya sebagai wanita berkulit hitam manis serta bagaimana beliau menepis pandangan negatif masyarakat dengan tujuan memberi inspirasi kepada wanita muda.

BACA LAGI: Karpet 'custom' eksklusif The Rug Cartel pelengkap dekorasi, penyeri kediaman dengan sentuhan peribadi

BACA LAGI: Anggap anak demam biasa, rupanya alami sepsis 'pembunuh' senyap, perhati tanda-tanda awal ini

Hantaran beliau turut disertakan beberapa gambar kerabat diraja yang berkahwin dengan wanita berkulit hitam manis.

Menurut Shareena, pengalaman hidupnya membuka mata tentang pentingnya menerima diri sendiri dan menolak standard kecantikan tidak realistik.

"Perkara itu membantu menyembuhkan inner child saya yang sering dipandang sebelah mata kerana kulit tanned. Saya harap ini menghantar mesej positif kepada gadis muda di luar sana untuk menerima warna kulit asal kita," tulisnya dalam hantaran yang dibuat pada Rabu itu.

Beliau turut menegaskan bahawa tona kulit bukan penentu nilai seorang wanita.

"Kulit hitam manis pun boleh berkahwin dengan anak raja. Lelaki berstatus tinggi tidak memandang sejauh mana seseorang berusaha memutihkan kulit, tetapi mereka melihat kepada sikap, cara membawa diri dan kemampuan intelektual," ujarnya.

Wanita tersebut juga memberi peringatan tentang bahaya produk pemutih.

"Penggunaan produk pencerah bukan sahaja tidak semula jadi, malah boleh memudaratkan kesihatan. Kecantikan sebenar akan sentiasa mengatasi kecantikan palsu," tegasnya.

Mesej tersebut semakin jelas apabila melihat kepada beberapa contoh pasangan diraja di negara ini.

Pemilihan wanita berkulit hitam manis sebagai suri hati kerabat diraja membuktikan bahawa keperibadian, kecerdikan dan cara membawa diri jauh lebih utama berbanding rupa paras semata-mata.

Antara pasangan diraja adalah seperti berikut:

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Che Puan Mahkota Khaleeda Johor. — Media sosial

1. Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda Johor

Perkahwinan pasangan ini berlangsung pada 2014. Che Puan Khaleeda sering menonjolkan keyakinan diri serta peribadi yang tenang, menjadikan keanggunannya lebih menonjol berbanding sekadar tona kulit.

Datin Seri Nadia Esham tampil anggun di sisi suami, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah. — TikTok/@abby.akmal

2. Yang Teramat Mulia (YTM) Raja Datuk Seri Ahmad Nazim dan Datin Seri Nadia Esham

Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 9 Ogos lalu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

Penampilan sederhana Datin Seri Nadia tetap menyerlahkan keanggunan dan kesopanan, mencerminkan nilai diri yang dihargai oleh anakanda saudara Sultan Perak, YTM Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah.

Tengku Amir Shah (kiri) bakal melangsungkan pernikahan dengan Afzaa Fadini pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. — Instagram Selangor Royal Office

3. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz

Pasangan tersebut bakal melangsungkan perkahwinan pada 2 Oktober ini. Ikatan ini memperlihatkan bahawa budi pekerti dan kebijaksanaan lebih utama, sekali gus membuktikan warna kulit bukanlah penghalang dalam membina hubungan yang dihormati.