
PADA saat ramai membelanjakan ratusan ringgit untuk produk kecantikan moden, sekumpulan wanita di pedalaman selatan China membuktikan bahawa rahsia awet muda boleh datang daripada ramuan paling ringkas iaitu air beras yang diperam.
Di perkampungan Huangluo Yao, Guangxi, wanita suku Red Yao terkenal dengan gelaran 'Rapunzel of China'.
Rambut mereka hitam berkilat, panjangnya ada yang mencecah lebih 1.5 meter.
Lebih mengagumkan, kulit wajah kekal licin, anjal dan bebas jeragat walaupun usia sudah menjangkau 60 hingga 70 tahun.
Salah seorang wanita Yao, Pan Yongan mendedahkan rahsia kecantikan yang diamalkannya.
“Sejak dahulu lagi kami percaya rambut panjang adalah simbol kecantikan.
“Sejak kecil kami mencuci rambut dengan air beras yang diperam. Sebab itu uban hampir tidak kelihatan walaupun usia mencecah 80," katanya.
Air beras yang diperam beberapa hari ini biasanya dicampur kulit limau bali, daun teh dan herba tempatan, lalu direbus sebelum digunakan setiap tiga hari.
Tradisi itu sudah diamalkan lebih 3,000 tahun dan kekal diwarisi hingga kini.
Kajian moden turut mengesahkan keberkesanan amalan ini.
Laporan dalam International Journal of Cosmetic Science mendapati air beras peram mengandungi antioksidan, vitamin B, inositol dan asid amino yang mampu melembapkan kulit, mempercepat pemulihan sel rosak serta merangsang penghasilan kolagen secara semula jadi.
Menurut jurulatih gaya hidup sihat, Masdi Hazli, rahsia wanita Yao bukan sekadar pada air beras, tetapi gaya hidup mereka yang sederhana.
“Mereka rawat kulit dengan apa yang boleh dimakan. Kita pula sapu kulit dengan apa yang kita tak berani telan,” katanya.
Selain amalan tradisi, kecantikan wanita Yao turut disokong oleh gaya hidup sederhana iaitu mereka makan nasi dan sayuran segar dari ladang, tidak mengambil makanan proses atau air manis, sentiasa aktif bekerja di sawah, dan bebas daripada pencemaran kosmetik moden.
Keunikan itu diraikan setiap tahun melalui Long Hair Festival, apabila ratusan wanita Red Yao berkumpul dengan pakaian tradisional, menyanyi di sungai sambil mempamerkan rambut panjang mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram