[VIDEO] Pramugari kongsi momen pulang kerja, bukan anak sahaja datang peluk, angsa kesayangan pun kedek-kedek sambut ‘mommy'


  • Bonda
  • Khamis, 25 Sep 2025

Bukan sahaja anak-anak Shamira Kasan berlari menyambut kepulangannya, malah beberapa ekor angsa peliharaannya turut 'berlari kedek-kedek' mahu memeluk tuannya.

TIADA yang lebih membahagiakan bagi seorang ibu selain disambut penuh kasih sayang setiap kali pulang ke rumah. 

Itulah momen manis yang dikongsikan pramugari, Shamira Kasan apabila bukan sahaja tiga cahaya matanya berlari mendapatkan pelukan, malah beberapa ekor angsa peliharaan juga tidak mahu ketinggalan menyambut dirinya. 

Dalam rakaman video yang dimuat naik di Instagram, Shamira dilihat baru tiba di hadapan pagar rumah selepas tamat bertugas. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia

Meskipun kepenatan kerana kurang tidur, wajahnya terus ceria sebaik melihat anak-anak meluru mendapatkan pelukan.

“Biar balik kerja tak cukup tidur, penat teramat… tetapi hilang penat bila sampai depan pagar dah ada yang menunggu,” katanya.

Lebih mencuri perhatian, beberapa ekor angsa yang berada di beranda rumah turut berjalan pantas ke arahnya, seolah-olah mahu dipeluk manja.

Shamira kemudian memeluk dan membelai haiwan manja itu sambil berseloroh, “Dia nak peluk lagi, si manja bambam mommy ni.”

Bagi Shamira, setiap kali terdengar pengumuman perkataan welcome home di dalam pesawat, hatinya sudah terbayang wajah anak-anak dan suasana rumah yang dirindui.

“Hilang penat kerja bila tahu ada yang setia menanti kepulangan setiap hari. Home sweet home! There’s no place like it,” kongsinya lagi.

Momen itu turut mengundang senyuman ramai pengikutnya.

“Comel sangat! Selalu angsa kejar kita takut. Yang ini minta peluk, special!” tulis seorang pengguna, Naa.

“Bestnya ada angsa, ayam semua,” kata Cik Beez pula.

Sebelum ini, Shamira pernah berkongsi kisah hidupnya yang membesarkan tiga orang anak seorang diri sejak 2017. 

Dia mengakui perjuangan itu bukanlah mudah, namun tekad untuk memastikan masa depan anak-anak menjadikannya kuat sebagai ibu dan memikul tanggungjawab sebagai bapa dalam satu masa.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram