
PEMPENGARUH berasal Korea Selatan, Tara Choi mencuri perhatian warga maya apabila memuat naik beberapa gambar praperkahwinan (prewedding) romantis berlatarbelakangkan keindahan Gunung Kinabalu di Kundasang, Sabah.
Dalam foto-foto yang dimuat naik, Tara kelihatan anggun dengan gaun putih ringkas dipadankan kardigan biru muda, manakala tunangnya tampil segak dengan kemeja biru lembut sambil memegang sejambak bunga.
Antara momen yang mencuri hati termasuklah gambar pasangan itu berpegangan tangan dengan senyuman mesra, tunangnya mencium lembut dahi Tara, serta mereka berpelukan mesra di jalan yang dikelilingi kehijauan hutan pine dengan puncak gunung diselubungi kabus putih.
Tidak sekadar berkongsi hasil gambar, Tara turut memuat naik video di sebalik tabir yang memperlihatkan pasangan itu menari riang sambil mengabadikan memori indah mereka.
Menariknya, semua gambar itu hanya dirakam menggunakan iPhone 16 Pro tanpa khidmat jurufoto profesional, sekali gus menjadikan sesi praperkahwinan mereka lebih ringkas dan jimat bajet.
“Our self-wedding photoshoot at Kundasang. Keputusan dah keluar! Gembiranya melihat gambar-gambar ini. Tolong nilai satu per 10?” tulis Tara di ruangan kapsyen, sambil mendedahkan wajah bakal suaminya buat kali pertama.
Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah dan pujian daripada pengikut setia.
“Sekarang saya dah ada idea macam mana nak rakam untuk hari besar saya. Saya rasa lebih bangga dengan kampung halaman sendiri. Terima kasih kakak," kata Nn06x.
“Ah I love when hot people date each other, tahniah Tara!!!” tulis seorang pengguna, Chubinnies.
Seorang warga Sabah, Abby Ignacio-Hong turut bertanya sebab Tara memilih Sabah sebagai lokasi istimewa tersebut.
Tara berkata, dia sudah menyimpan banyak gambar tentang Kundasang sejak dua tahun lepas, tanpa menyangka tempat percutian impiannya berakhir menjadi lokasi prewedding. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram