
RAMAI wanita masih keliru tentang kedudukan mereka dalam pembahagian harta pusaka apabila suami meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika nama isteri tidak disenaraikan sebagai penama atau si suami tidak meninggalkan wasiat.
Menurut peguam syarie, Nur Ramizah Kasbi, isteri sebenarnya tetap mempunyai hak dalam faraid walaupun tidak dinamakan sebagai penama di dalam akaun simpanan atau KWSP.
“Penama di KWSP hanyalah pemegang amanah. Aset itu tetap perlu diagihkan semula mengikut hukum faraid dan isteri masih berhak ke atas bahagiannya,” katanya kepada Majoriti.
Pentingnya tuntut harta sepencarian
Namun, hak faraid sahaja sering kali tidak mencukupi kerana bahagian isteri lazimnya kecil berbanding anak-anak dan ahli waris lain.
Di sinilah pentingnya tuntutan harta sepencarian sebelum proses faraid dijalankan.
Menurut Nur Ramizah, isteri boleh menuntut bahagian ini sekiranya dapat membuktikan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Kalau isteri ada bantu suami dari segi kewangan... contohnya membayar bil utiliti, penyelenggaraan rumah atau membeli perabot, itu dikira sumbangan isteri secara langsung.
"Tetapi kalau dia menjadi suri rumah, menjaga anak-anak dan menguruskan keluarga sehingga suami dapat mencari rezeki dengan tenang, itu juga dikira sumbangan secara tak langsung. Kedua-duanya boleh dijadikan asas tuntutan harta sepencarian,” katanya.
Pentingnya bukti dan dokumentasi
Tambah beliau, kelemahan paling ketara yang dihadapi ramai isteri ialah kegagalan menyimpan bukti sumbangan.
“Mahkamah perlukan dokumen, bukan sekadar cakap mulut. Resit bil, penyata bank, bukti pembelian, semuanya penting.
"Walaupun nampak kecil, ia boleh menguatkan kes dan membolehkan isteri menuntut bahagian yang lebih adil,” ujar Nur Ramizah.
Beliau menasihatkan para isteri untuk mula menyimpan resit dan rekod perbelanjaan berkaitan rumah tangga untuk kegunaan masa hadapan.
Dapatkan khidmat nasihat
Dapatkan nasihat pihak berautoriti penting bagi mengelak isu pertelingkahan selepas kematian suami seperti terjadinya kes keluarga mentua yang menuntut semua aset seperti rumah, tanah dan saham.
“Kalau tidak mahu lantik peguam pun tidak mengapa. Pergilah ke mahkamah syariah atau dapatkan pandangan daripada pegawai bertanggungjawab.
"Apa yang penting, buatlah tuntutan harta sepencarian dahulu. Jika pembahagian faraid selesai, tuntutan itu tidak boleh lagi dimasukkan,” tegas Nur Ramizah.
Realitinya, selepas kematian suami, isteri sering berdepan cabaran besar untuk membesarkan anak-anak dengan bahagian faraid yang kecil.
Justeru, pemahaman tentang hak dalam harta pusaka dan keberanian untuk membuat tuntutan di mahkamah adalah kunci utama bagi memastikan kelangsungan hidup keluarga.
“Isteri berhak menuntut lebih kerana dialah yang telah berkorban sepanjang tempoh perkahwinan. Jangan biarkan hak itu terlepas hanya kerana tidak tahu prosedur atau tidak menyimpan bukti,” pesan Nur Ramizah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram