
SEBENTUK cincin eksklusif jenama tempatan terkemuka, Blue Diamond kini menjadi perhatian apabila dipilih sebagai cincin hantaran diraja untuk istiadat pernikahan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan pilihan hatinya, Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz.
Dalam satu hantaran istimewa di media sosial, pihak Blue Diamond berkongsi sekeping gambar memaparkan Tengku Amir Shah duduk tersenyum di atas sofa berona merah keemasan sambil memegang sebuah kotak cincin tertutup yang elegan.
Namun, cincin sebenar tidak didedahkan, menambahkan unsur kejutan dan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
BACA LAGI: Raja Muda Selangor, Afzaa Fadini bakal menikah 2 Oktober ini, kenali pilihan hati Tengku Amir Shah
“Tahniah kepada Putera Mahkota Raja Muda Selangor Tengku Amir dan Cik Afzaa atas majlis yang meriah ini. Terima kasih kerana memilih kami untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang indah ini,” tulis pihak Blue Diamond.
Walaupun reka bentuk cincin kekal misteri, pemilihan jenama eksklusif seperti Blue Diamond menggambarkan cita rasa tinggi dan sentuhan peribadi dalam persiapan istiadat perkahwinan diraja itu
Gambar tersebut turut dirakam dalam suasana klasik dan mewah di ruang tamu Istana Alam Shah, lengkap dengan perabot berukir, lukisan potret diraja dan artifak bersejarah.
Berdasarkan kenyataan rasmi dari Selangor Royal Office, Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung pada 2 Oktober 2025 bertempat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.
Majlis kemuncak seperti Persandingan Diraja dan Santapan Diraja pula dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober 2025, di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja yang menandakan gabungan adat tradisi dan ketertiban institusi diraja negeri Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram