
ISTANA Alam Shah, Selangor mengumumkan bahawa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz pada 2 Oktober depan.
Menurut kenyataan rasmi Selangor Royal Office, Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.
Majlis persandingan dan Santapan Diraja pula dijadualkan pada 22 Oktober 2025 di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Bagi memberkati istiadat bersejarah itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menganjurkan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di seluruh masjid negeri Selangor pada Khamis ini.
Pada tarikh sama, Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor dijadual berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Siapakah bakal suri hati Raja Muda Selangor?
Afzaa Fadini memiliki latar kerjaya dan sumbangan yang mengagumkan.
Beliau pernah berkhidmat selama dua tahun di London, United Kingdom sebagai Head of Content di syarikat Free Soul, sebuah jenama nutrisi wanita yang menekankan produk berasaskan konsep positif, berdaya mampan dan memberi inspirasi kepada golongan wanita.
Selepas kembali ke tanah air pada 2020, Afzaa Fadini terus menceburkan diri dalam bidang pemuliharaan alam sekitar.
Beliau kini terlibat dalam pengurusan dan perlindungan sebuah kawasan konservasi yang giat menjalankan usaha pemulihan hutan di Semenanjung Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram