
HARI Kebangsaan kali ini membawa sejarah baharu bagi seni fesyen Malaysia apabila rekaan Mell Sulaiman diberi nama The Majestic of Anjung Seripak (Bajau Sama) diumumkan pemenang Pertandingan Pereka Kostum Nasional Malaysia 2025.
Apa yang lebih menarik, kostum itu bakal mewakili Malaysia di Miss Universe 2025, Thailand.
Mell yang berasal daripada komuniti Bajau Sama berkata, inspirasi utama rekaan berkenaan datang terus dari akar budaya mereka.
“Bajau Sama dahulu jarang diangkat. Kini, saya mahu bawa identiti ini ke pentas lebih besar, supaya dunia juga kenal keindahan tradisi kami,” katanya kepada Majoriti.
Tradisi bertemu moden
Rekaan Mell memadukan keaslian tradisional dengan sentuhan moden tanpa menghilangkan identiti Bajau Sama.
Pemilihan warna bukan sekadar estetika, ia memiliki maksud yang tersendiri.
Mell berkata, biru laut mewakili kehidupan nelayan di persisiran pantai, sementara corak merah, kuning dan hitam simbol keberanian dan kekuatan komuniti.
"Penggunaan warna dalam rekaan pun kami tak sesuka hati pilih, contohnya warna biru laut, masyarakat Bajau Sama mostly mencari rezeki melalui pekerjaan nelayan jadi kami pilih ia sebagai warna dalam rekaan," katanya.
Rekaan Mell Sulaiman diberi nama The Majestic of Anjung Seripak (Bajau Sama) diumumkan pemenang Pertandingan Pereka Kostum Nasional Malaysia 2025.
Hiasan kepala serimpak keemasan pula menyerlahkan keanggunan wanita Bajau Samah sehingga menjadi simbol utama dalam rekaan ini.
Proses menyiapkan kostum mengambil masa dua minggu dengan Mell dibantu oleh pasukan beliau.
“Idea datang daripada saya, tapi tenaga kerja penting untuk menyiapkan segala perincian. Saya mahu memastikan tradisi dikekalkan, tetapi ada sentuhan moden supaya lebih segar,” jelasnya.
Dari Tuaran ke pentas dunia
Biarpun pertama kali membawa kostum ke pentas Miss Universe, namun busana tradisional beliau sebelum ini sudah pun dipersembahkan di luar negara seperti Switzerland, London, Nepal dan Qatar.
Butik beliau di Pekan Tuaran, Sabah, kini menjadi tempat bagi mereka yang mencari busana tradisional untuk pelbagai acara baik tempatan mahupun antarabangsa.
"Baju-baju rekaan saya banyak yang sudah terbang ke luar negara.
"Tak semestinya untuk tarian, konvokesyen juga ada. Ada juga yang bertandang ke butik mencari baju tu untuk dibawa ke luar negara," katanya.
Apabila ditanya tentang perasaannya selepas diumumkan juara, Mell tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan bangga.
“Saya tidak menyangka akan menang kerana bersaing dengan pereka berpengalaman lebih 10 tahun. Tapi semangat, usaha dan keyakinan pasukan kami membuahkan hasil," katanya.
Mell berharap kostum ini bukan sahaja menarik perhatian juri, tetapi juga menjadi simbol perpaduan budaya Malaysia khasnya Sabah di mata dunia.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum. Setiap etnik memainkan peranan penting untuk keharmonian negara dan Bajau Sama kini boleh dibanggakan di peringkat global,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram