Boi Boi bawa jiwa Borneo dalam dekorasi moden, estetika alam dan budaya bersatu


  • Hias
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Pencahayaan hangat mencipta suasana nyaman dan berjiwa Borneo.

BORNEO sering digambarkan sebagai syurga biodiversiti, tetapi keindahan budaya dan seni kraftangannya masih belum mendapat perhatian dunia.

Di tengah arus rekaan dalaman moden yang sering cenderung kepada gaya Skandinavia atau minimalis, seorang pemilik kafe, Joanne Chin tampil berani memperkenalkan estetika Borneo dalam ruang kontemporari.

Setiap motif, ukiran dan anyaman yang dipilih bukan sekadar hiasan, tetapi membawa cerita tentang identiti, warisan dan hubungan mendalam antara manusia dan alam.

BACA LAGI: [VIDEO] Cita rasa kelas dunia, Kate Middleton anggun dalam gaun klasik diraja, Melania tampak 'bold' gayakan 'dress' moden kuning terang

BACA LAGI: Sakit sendi, berpeluh malam antara 20 simptom fasa menopaus dialami wanita Malaysia, anda kategori mana?

Joanne percaya bahawa ruang yang dihiasi dengan elemen Borneo memberi pengalaman lebih emosional.

Ia bukan hanya cantik dipandang mata, tetapi terasa hidup.

Melalui jenama dan kafe yang dinamakan Boi Boi, Joanne, 35, mencipta platform yang menyatukan makanan, seni dan rekaan.

Hasilnya adalah sebuah ruang yang menggabungkan aroma kopi dengan bau kayu, rotan dan seni bermotif Dayak.

Ia seakan membawa pelanggan terus ke 'jantung' hutan hujan tropika Borneo.

Boi Boi mencipta platform menyatukan makanan, seni dan rekaan.

Dalam temu bual bersama Majoriti, Joanne menceritakan inspirasi di sebalik Boi Boi.

"Saya mahu membawa keindahan budaya Borneo ke pentas yang lebih luas.

"Inspirasi datang daripada warisan kraftangan, corak etnik dan keaslian alam semula jadi Borneo yang unik, tetapi masih kurang diketengahkan dalam dunia dekorasi moden," kata Joanne sambil tersenyum.

Menurutnya, estetika Borneo adalah gabungan organik antara alam dan budaya.

Corak etnik, tekstur semula jadi seperti buluh dan rotan, serta warna-warna bumi menjadi asas dalam rekaannya.

"Ia bukan sekadar visual, tetapi pengalaman yang membawa suasana Borneo ke dalam ruang," jelasnya.

Sompoton antara yang diabadikan pada panel hiasan untuk menyerlahkan identiti budaya.

Bagi Joanne, setiap projek adalah peluang untuk menceritakan kisah.

Beliau banyak menggunakan motif etnik Dayak dan Kadazan-Dusun, ukiran kayu tradisional, anyaman rotan dan simbol-simbol alam seperti burung enggang dan pucuk rebung.

"Motif pucuk rebung dan burung enggang melambangkan kehidupan, pertumbuhan, dan kebebasan.

"Ia serba boleh, boleh diaplikasikan dalam tekstil, mural, hingga ke ukiran moden," ujarnya.

Projek yang paling dekat di hati Joanne ialah hiasan sebuah kafe dengan konsep moden kopitiam Borneo.

Gabungan mural etnik, perabot buluh kontemporari dan pencahayaan hangat menjadikan ruang itu moden tetapi tetap sarat jiwa tradisi.

Koleksi aksesori rumah berinspirasikan Borneo dipamer di sudut khas.

Menggabungkan elemen tradisi dengan reka bentuk moden bukan kerja mudah.

"Cabaran utama ialah mencari keseimbangan bagaimana mengekalkan nilai tradisi tanpa menjadikannya kelihatan seperti muzium," kata Joanne.

Untuk itu, beliau menyesuaikan skala, material dan warna agar harmoni dengan ruang moden.

Prinsip yang dipegang oleh Boi Boi ialah akar tradisi, nafas moden iaitu tradisi menjadi inspirasi manakala rekaan kontemporari memberi sentuhan segar agar relevan dengan gaya hidup masa kini.

Selain mencipta ruang yang indah, Joanne juga percaya penting untuk mendidik pelanggan mengenai makna di sebalik elemen yang digunakan.

"Kami berkongsi cerita di sebalik setiap corak dan material melalui katalog, media sosial dan sesi penerangan bersama pelanggan.

"Bila pelanggan tahu makna sesuatu motif, mereka lebih menghargainya," katanya.

Bahan seperti rotan dan buluh dipilih kerana lestari dan diperoleh secara etika daripada artisan di Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong ekonomi komuniti setempat.

Ruang kafe yang siap dihias mempamerkan gabungan moden dan tradisi.

Boi Boi tidak berhenti di situ kerana Joanne merancang untuk membawa inspirasi Borneo ke pentas antarabangsa melalui kolaborasi bersama pereka global.

"Kami mahu menghasilkan koleksi moden, termasuk perabot, tekstil dan aksesori rumah yang mengekalkan roh Borneo tetapi sesuai untuk gaya hidup moden," katanya dengan penuh semangat.

Dengan visi itu, Boi Boi berpotensi menjadi duta kecil yang membawa seni dan budaya Borneo ke pasaran global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram