
SEBUAH video tular di TikTok memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menghulurkan air mineral kepada orang awam yang terkandas di sebuah hentian bas sambil diperhatikan bapanya yang menunggu di motosikalnya.
Detik itu mencuri perhatian kerana mencerminkan contoh didikan baik daripada seorang bapa terhadap anaknya.
Menurut kapsyen pemilik video, suasana ketika itu agak sesak kerana orang ramai sedang menunggu bas untuk pulang.
BACA LAGI: Auntie Ja dakwa bekas staf 'jual' resipi, siap ambil pembekal sama guna nama Suka Dessert
BACA LAGI: [VIDEO] Tangan 'berseni' Kazuki Nakajima terjemah emosi, karya agung Van Gogh dalam gubahan bunga
Kehadiran anak kecil itu bersama bapanya berjaya mencetuskan suasana lebih tenang dan menyentuh hati.
"Dalam keadaan orang ramai tertekan menunggu bas dan pengangkutan untuk pulang, kanak-kanak perempuan ini berjalan menghulurkan air mineral kepada orang awam.
"Melihat tindakan ini memang menyentuh hati," tulis @meenimini dalam video berkenaan yang menerima hampir 100,000 tontonan.
Walaupun sekadar botol air kecil, namun tindakan kanak-kanak itu memberi impak besar kepada masyarakat.
Ia juga mendedahkan anak kepada nilai bantu-membantu tanpa mengira latar belakang, sekali gus menanamkan sifat prihatin dan empati sejak awal usia.
Dalam pada itu, pemilik video itu turut menzahirkan penghargaan kepada petugas yang membantu menguruskan keadaan.
"Saya benar-benar perlu beri penghargaan kepada kakitangan Rapid yang bekerja keras malam ini untuk membantu menguruskan keadaan," ujarnya.
Di ruangan komen pula, warga maya memuji tindakan berkenaan.
Seorang pengguna menyifatkan pengalaman tersebut sebagai memori berharga buat kanak-kanak itu pada masa depan.
"Ia akan jadi memori penting untuk kanak-kanak itu apabila dia dewasa, bagaimana bapanya mengajarnya tentang kebaikan,” tulis @iistiredaf.
Seorang lagi pengguna meluahkan rasa tersentuh melihat perkongsian itu.
"Ia sesuatu yang manis dan penuh makna apabila bapanya melibatkan anak dalam tindakan sedemikian," kata @sylvia_ish.
Sementara itu, pengguna @muhdhamzi4 memuji cara didikan tersebut dan berharap dapat mencontohinya.
"Bagus didikan macam ini. Harap satu hari nanti saya juga dapat ajar anak cara sama," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram