
APA yang bermula sebagai rutin asas menjaga kulit kini semakin berubah menjadi perlumbaan tanpa henti untuk kelihatan sempurna.
Dahulu, ramai hanya ikut langkah mudah seperti membersihkan kulit wajah, menyapu toner dan krim pelembap.
Pun begitu, lama-kelamaan, kemunculan pelbagai produk baharu dan trend kecantikan sedikit demi sedikit menjadikan rutin penjagaan wajah semakin rumit. Masakan tidak, kadangkala memerlukan lapan hingga 10 langkah.
Rutin kecantikan sepatutnya jadi menjadi ruang tenang bukan beban. — Gambar hiasan/Freepik
Apa yang sepatutnya menyeronokkan kini berubah menjadi tekanan untuk mendapatkan kulit seakan ditapis filter.
Akibatnya, ramai merasa letih dan hilang semangat. Fenomena ini dipanggil beauty burnout.
Apa itu beauty burnout?
Menurut Pakar Dermatologi di Aster CMI Hospital, Karnataka, India, Dr. Shireen Furtado, beauty burnout berlaku apabila seseorang berasa letih, tertekan atau terbeban dengan rutin kecantikan.
Terlalu banyak produk, rawatan dan trend baharu yang muncul membuatkan ramai rasa mereka mesti ikut semuanya.
Apabila terlepas satu langkah, mula timbul rasa bersalah.
Sementara itu, Pakar Dermatologi di Hospital Arete dekat Telangana, Dr. Ravali Yalamanchili pula menambah, punca utama datang daripada tekanan untuk sentiasa nampak sempurna.
Dahulu, penjagaan diri lebih kepada rasa sihat dan yakin. Kini, ia dikaitkan dengan rawatan mahal atau trend di media sosial.
Tanda-tanda beauty burnout:
1. Rutin kecantikan rasa membebankan, bukan menyeronokkan.
2. Rasa bersalah jika tertinggal langkah.
3. Kerap membeli produk baharu tanpa hasil memuaskan.
4. Terlalu banyak masa dan wang dihabiskan.
5. Kesan emosi: stres, rendah diri, risau tentang rupa.
6. Kesan fizikal: iritasi, jerawat atau masalah kulit lain akibat produk berlebihan.
Penggemar kecantikan perlu menetapkan bajet khusus sebelum membeli sesuatu produk. — Gambar hiasan/Freepik
Kesan emosi
Beauty burnout bukan sekadar soal kulit, ia juga memberi kesan pada kesihatan mental.
Tekanan untuk ikut semua trend boleh menyebabkan keresahan, rasa tidak cukup baik atau suka membandingkan diri dengan orang lain.
Rutin yang sepatutnya menenangkan akhirnya jadi punca stres harian.
Bagaimana cara atasi?
Dr. Furtado menasihatkan untuk kembali kepada asas dengan meringkaskan rutin, fokus pada pembersihan, pelembapan dan perlindungan matahari.
1. Jangan rasa bersalah kalau tertinggal satu langkah.
2. Elakkan terlalu kerap mencuba produk baharu.
3. Hadkan masa di media sosial jika ia membuatkan rasa tertekan.
4. Tetapkan bajet kecantikan supaya tidak berlebihan.
5. Dengar keperluan kulit sendiri, bukan semata ikut orang lain.
Dr. Ramavali menegaskan konsep less is more.
Setiap kulit berbeza, jadi fokus pada apa yang sesuai dengan diri, bukan semata-mata apa yang trending.
Kedua-dua pakar bersetuju bahawa masa depan kecantikan akan lebih seimbang, mudah dan autentik.
Orang ramai semakin menerima kecantikan semula jadi serta ketidaksempurnaan dan menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental.
Akhirnya, kecantikan bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang rasa sihat, selesa dan yakin dengan diri sendiri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram