Isteri mengandung 8 bulan tergamam tonton video suami ‘makan luar’ dalam rumah sendiri, kesudahannya...


  • Cinta
  • Selasa, 23 Sep 2025

Seorang isteri menangis selepas melihat rakaman video suaminya bersama wanita lain melakukan perbuatan keji di rumah mereka sendiri. — Gambar Hiasan

“TITIK terendah aku sebagai seorang isteri ialah apabila ternampak video suami aku sedang 'makan luar' dengan perempuan lain.”

Itulah luahan pedih seorang wanita menerusi akaun Facebook, Hiddent Chapter Of Naa yang mencuri perhatian ramai apabila berkongsi detik hitam rumah tangganya.

Menurut wanita tersebut, kejadian berlaku dua tahun lalu ketika beliau sarat mengandung lapan bulan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: Raja Muda Selangor, Afzaa Fadini bakal menikah 2 Oktober ini, kenali pilihan hati Tengku Amir Shah

Semuanya terbongkar secara tidak sengaja apabila dia meneliti telefon suaminya untuk melihat gambar anak-anak, sebelum tergerak hati membuka bahagian yang sudah dipadam.

Di situlah beliau menjumpai rakaman yang dipercayai dirakam di dalam salah sebuah bilik rumah mereka sendiri.

“Aku dapat cam, bilik tu sebab ada kerusi pink dekat bucu. Bayangkan, rumah yang aku, dia dan anak-anak duduk bersama… tempat itu juga yang jadi saksi pengkhianatan,” tulisnya.

Lebih memilukan, video itu ditonton ketika dia menunggu di dalam kereta bersama anak-anak, sementara suami keluar membeli air di kedai serbaneka. 

Saat suami kembali ke dalam kereta, wanita tersebut hanya mampu menangis teresak-esak hingga menekan dada kerana berasa sesak, sambil anak-anak kecilnya terpinga-pinga melihat keadaan si ibu.

Suaminya pula memilih untuk berdiam diri, tanpa sebarang penjelasan atau usaha memperjelaskan keadaan.

“Masa tu aku hanya mampu menangis. Anak-anak tengok ibu mereka menangis dalam kereta, sedangkan aku tengah sarat nak bersalin,” katanya.

Peluang kedua yang gagal

Walaupun hati sudah nekad mahu berpisah, keadaan diri yang sedang hamil dan anak-anak yang masih kecil membuatkan wanita itu bertahan.

Malah, dia meminta suaminya membuang katil di bilik yang menjadi lokasi kecurangan kerana terasa jijik.

Namun, peluang kedua yang diberikan hanya bertahan seketika. 

Beberapa bulan selepas bersalin, dia sekali lagi menemui mesej suaminya bersama wanita lain yang berbual tentang penggunaan kondom.

“Aku dah nekad, kalau dia tak boleh berubah, biar aku je yang berubah,” katanya.

Kini, selepas dua tahun mengumpul kekuatan, wanita itu bersedia menamatkan rumah tangga yang dibina. 

Katanya, 29 September ini bakal menjadi tarikh suaminya melafazkan cerai.

“Dari 2023 hingga 2025 entah berapa banyak air mata aku tumpah. Hari aku failkan cerai, setitik air mata pun dah tak keluar. Sekarang, giliran dia pula terima akibat.”

Luahan wanita ini ternyata mengundang simpati ramai. Rata-rata warga maya menyifatkan keputusan beliau untuk bercerai adalah langkah paling tepat selepas melalui episod pengkhianatan yang begitu memeritkan.

Seorang pengguna Facebook, Tuty Hussayn memohon agar dijauhkan dengan lelaki sebegitu. 

“Saya tak mahu komen apa-apa, cuma satu sahaja saya mohon pada ALLAH. Semoga anak lelaki mahupun anak perempuan saya, juga seluruh keturunan saya, dijauhkan daripada menjadi lelaki sebegitu atau menjadi mangsa seperti isteri tersebut. Amin," katanya. 

Diela Dila pula mengaitkan perbuatan curang dengan firman ALLAH dalam al-Quran:

“Keputusan untuk berpisah itu sangat tepat. ALLAH sendiri sudah menyebut tentang golongan penzina dalam Surah An-Nur ayat 3 berbunyi:

"Lelaki yang berzina tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengannya melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman," katanya. 

Ada juga yang pernah berada di situasi serupa. Ayu Amira Abdul Wahab berkongsi pengalaman peribadi. 

“Saya sendiri pernah melalui hal yang sama. Bezanya, dalam kes saya, perempuan tu sendiri mengaku sudah tidur dengan suami saya di hotel berkali-kali. Syukur sekarang semuanya tinggal kenangan sebab dia dah jadi bekas suami. Saya anggap saja saya tersalah pilih pasangan dan yakin ALLAH sediakan yang lebih baik untuk saya di masa depan," katanya. 

Manakala Zety Yusof pula mendedahkan bagaimana dirinya akhirnya mendapat kekuatan untuk meninggalkan perkahwinan yang sudah hancur. 

“Saya betul-betul faham apa yang awak rasa, sebab saya pun pernah lalui benda yang sama. Cuma jalan cerita berbeza. Masa saya pergi kaunseling di pejabat agama, ustaz tu terus terang cadangkan saya bercerai.

"Bayangkan, dari rumah saya yang penuh dengan air mata, tiba-tiba kering terus air mata bila dengar cadangan tu. Awak sendiri nak teruskan hidup dengan suami macam tu atau pilih jalan yang lebih tenang," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram