
BAGI pasangan sudah berkahwin, isu merancang keluarga sering menjadi keutamaan khususnya bagi mereka yang mahu menjarakkan kelahiran atau belum bersedia menambah cahaya mata.
Antara kaedah moden semakin mendapat perhatian ialah implanon sejenis implan kecil yang dipasang pada lengan dan mampu mencegah kehamilan hingga tiga tahun dengan kadar keberkesanan hampir 99.9 peratus.
Perkara itu turut dikongsikan pempengaruh, Iman Abdul Rahim yang baru-baru ini mendedahkan pengalamannya menanggalkan dan memasang semula implanon selepas tiga tahun digunakan.
BACA LAGI: Raja Muda Selangor, Afzaa Fadini bakal menikah 2 Oktober ini, kenali pilihan hati Tengku Amir Shah
Menurut ibu kepada tiga anak itu, prosedur berkenaan mudah dan hanya melibatkan torehan kecil pada kulit lengan dengan bius sehingga menjadikan tahap kesakitan sangat minimum.
“Untuk rate kesakitan, saya bagi 3/10 sebab ada bius. Lepas tu memang tak rasa sangat. Aktiviti harian termasuk bersenam pun tidak terganggu,” katanya menerusi video di media sosial.
Iman turut menambah, implanon tidak menjejaskan gaya hidup aktifnya yang melibatkan aktiviti pilates, mengangkat barang berat dan bersenam.
Bagaimanapun, jika ingin pergi berurut, Iman menasihati pengguna agar memaklumkan kepada tukang urut terlebih dahulu agar tidak menekan di bahagian yang dipasangn implanon.
Apa itu implanon?
Implanon berbentuk rod kecil seakan batang mancis yang dimasukkan ke bawah kulit lengan atas.
Ia mengandungi hormon etonogestrel yang berfungsi menghalang ovulasi serta menebalkan mukus serviks bagi mengelakkan kehamilan.
Kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh doktor bertauliah dan memberikan perlindungan berpanjangan sehingga tiga tahun, tanpa perlu risau soal pengambilan pil setiap hari.
Antara kesan sampingan termasuk perubahan corak haid atau ketidakselesaan kecil di kawasan lengan.
Dengan keberkesanan hampir 100 peratus, implanon kini muncul sebagai alternatif praktikal dan selamat bagi pasangan berkahwin yang mahu merancang keluarga dengan lebih yakin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram