
NAMA Halima Cisse berusia 29 tahun dari Mali kembali mencuri perhatian selepas berkongsi semula detik bersejarah yang menjadikannya pemegang rekod dunia sebagai ibu kepada anak paling ramai dilahirkan dalam satu kelahiran.
Menerusi Instagram, Halima dan suaminya, Abdelkader Arby memuat naik koleksi gambar kenangan ketika kehamilan dan saat kelahiran sembilan anak mereka pada 4 Mei 2021 yang kini genap berusia empat tahun.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan empat tahun lalu. Inilah antara foto istimewa sejurus selepas kelahiran permata hati kami di dalam inkubator kecil masing-masing,” tulisnya.
Halima Cisse melahirkan sembilan bayi kembar.
Kelahiran sembilan bayi itu yang terdiri daripada empat lelaki iaitu Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah serta lima perempuan iaitu Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou berlaku pada usia kandungan 30 minggu, kira-kira 10 minggu lebih awal daripada tempoh normal.
Berat mereka ketika lahir hanya antara 0.5 hingga 1 kilogram.
Rekod tersebut diiktiraf Guinness World Records sebagai kelahiran serentak paling ramai yang kesemuanya berjaya diselamatkan.
Pasangan itu sebelum ini sudah pun mempunyai seorang anak perempuan sulung yang kini berusia enam tahun.
Kisah Halima bukanlah satu-satunya yang menjadi perhatian.
Sejak tahun lalu beberapa kelahiran kembar ramai turut mendapat liputan global antaranya ialah:
1. Precious Ifeanyi
Pada Januari 2024, wanita di Nigeria, Precious Ifeanyi melahirkan enam bayi secara serentak di National Hospital, Abuja.
Bayi terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki itu lahir pada usia kandungan 30 minggu sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Zeenat Waheed selamat melahirkan enam bayi melalui pembedahan caesarean.
2. Zeenat Waheed
Sementara itu, Zeenat Waheed pula selamat melahirkan enam bayi melalui pembedahan caesarean di sebuah hospital di Rawalpindi, Pakistan pada April 2024.
Bayi-bayi tersebut yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dilahirkan.
3. Mokseda Akhter Priya
Kes sama turut berlaku pada September 2025 di Bangladesh apabila seorang wanita bernama Mokseda Akhter Priya melahirkan enam bayi pramatang di Dhaka Medical College and Hospital (DMCH).
Kesemua bayi, tiga lelaki dan tiga perempuan, dilahirkan pada usia kandungan 27 minggu dengan berat sekitar 800 hingga 900 gram sebelum dipindahkan ke NICU untuk rawatan intensif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram