'Ibarat macam kahwin percuma', guru tadika bersyukur jadi anak Terengganu, hanya keluar duit sekitar RM400 untuk majlis perkahwinan


  • Cinta
  • Ahad, 21 Sep 2025

Program anjuran YPKT memberi peluang pasangan untuk berkahwin tanpa perlu memikirkan kos untuk ditanggung.

"IBARAT macam kahwin percuma. Dari baju, pelamin, makan beradab sampai cenderamata untuk tetamu, semua kerajaan sediakan.”

Demikian luahan syukur Suriana Mohd Nayan, 28, yang sah bergelar isteri kepada Mohd Ridhwan Zakaria, 35, dalam majlis Walimatulurus Perdana 2025 Negeri Terengganu pada Sabtu lepas di Arena Merdeka, Dungun, Terengganu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

Seramai 30 pasangan pengantin berkahwin menerusi program anjuran YPKT.

Bagi guru Pasti An-Nur Tebing Tembah itu, peluang menyertai program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menjadi rezeki besar. 

"Memang tak terlintas langsung  nak kahwin ramai-ramai, tapi bila kawan cadangkan, saya cuba isi borang. Syukur, ALLAH permudahkan,” katanya kepada Majoriti.

Tanpa ibu bapa di sisi, Suriana mengaku lega kerana tidak perlu terbeban memikirkan kos yang tinggi.

"Ayah saya meninggal pada 2000, ibu saya meninggal pada 2021. Bila kahwin menerusi progam ini, kami keluar RM1,000 sahaja dan duit itu pun akan dipulangkan semula. 

"Jadi kos sebenar saya untuk majlis perkahwinan tak sampai RM400 pun. Itupun untuk tempahan buat baju, kasut dan solekan," katanya. 

Pertemuan Suriana dan Ridhwan bermula sekitar April 2023, apabila ayah rakannya memperkenalkan mereka.

Dari detik singkat itu, mereka berkawan lama tanpa melalui fasa percintaan. 

Selepas hari raya Aidilfitri tahun ini, Ridhwan hadir berjumpa keluarga Suriana dan pertemuan itu terus mengikat keputusan untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri

“Kami berkawan sahaja. Lepas dia datang jumpa keluarga, terus sepakat untuk bernikah. Selepas raya, kami hantar borang untuk sertai kahwin perdana,” katanya.

Meriah dengan konvoi pengantin

Majlis menjadi lebih istimewa dengan kelainan iaitu 10 pasangan pengantin berkonvoi menaiki motosikal dari Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah menuju ke dewan, manakala 20 pasangan lain dibawa menaiki bas khas.

Tema biru dipilih sebagai warna rasmi tahun ini, melambangkan aura tenang dan ceria.

 Walaupun persalinan asas disediakan, pasangan tetap diberi kebebasan menentukan gaya dengan ada yang memilih kebaya, ada yang tampil dengan kurung moden.

“Walaupun kahwin ramai-ramai, pengantin boleh pilih sendiri baju nak designkan macam mana,” kata Suriana.

Inisiatif ringankan beban pasangan pengantin

Untuk rekod, program Walimatulurus Perdana ini terbuka kepada pasangan berpendapatan RM3,500 ke bawah dengan syarat salah seorang rakyat Terengganu, berumur 18 tahun ke atas, lulus kursus pra-perkahwinan serta bersetuju bernikah secara berjemaah.

Antara manfaat yang diterima termasuk persalinan pengantin lengkap, pelamin, kad jemputan, khidmat jurunikah, dokumen nikah, jamuan makan bersama keluarga terdekat, cenderahati untuk tetamu dan khidmat jurugambar yang kesemuanya ditanggung kerajaan negeri.

“Ekonomi sekarang mencabar, tetapi inisiatif macam ni sangat membantu. Saya berterima kasih kepada kerajaan Terengganu, khususnya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan semua yang menjayakan program ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram