Hos TV tak kisah belanja lebih RM328,000 sambut kelahiran anak sulung, nyawa isteri, bayi pramatang lebih penting


  • Bonda
  • Khamis, 18 Sep 2025

Pasangan suami isteri ini sanggup membelanjakan kira-kira RM328,000 bagi kos bersalin anak sulung mereka termasuk rawatan berkaitan.

HOS televisyen kelahiran Taiwan, Lee Teng mendedahkan beliau dan isteri, Gina Lin membelanjakan kira-kira RM328,000 (S$100,000) bagi kos bersalin anak sulung mereka termasuk rawatan berkaitan.

Pasangan itu menyambut kelahiran bayi lelaki pada Julai lalu, lebih awal daripada tarikh jangkaan melalui pembedahan caesarean. 

Difahamkan, keadaan itu memerlukan kos perubatan yang jauh lebih tinggi berbanding kelahiran biasa.

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Lee, 41, berkongsi pengalaman tersebut menerusi saluran YouTube miliknya baru-baru ini dan mengaku terkejut apabila melihat jumlah keseluruhan bil hospital.

Namun, beliau menegaskan kos tersebut tinggi kerana situasi khas mereka dan bukan jumlah yang biasa dibayar orang lain ketika bersalin.

Menurut Lee, isterinya berusia 32 tahun sebelum ini pernah mengalami keguguran pada 2020 sehingga menyebabkan mereka lebih berhati-hati dan merahsiakan kehamilan terbaru sehinggalah bayi berusia sebulan.

Gina pada mulanya dimasukkan ke hospital untuk berehat di katil bagi menstabilkan kandungan, namun selepas penilaian doktor, keputusan dibuat untuk melakukan pembedahan.

Situasi itu memanjangkan tempoh rawatan di wad Kelas A hospital swasta daripada empat hari kepada lima hari, sekali gus meningkatkan kos bersalin dan penginapan kepada kira-kira RM98,400 (S$30,000)

“Kalau ikut kebiasaan, kos caesarean di hospital swasta untuk wad sama sekitar RM49,200 – RM59,040 (S$15,000 hingga S$18,000), manakala kelahiran normal lebih kurang RM32,800 (S$10,000). 

"Kos akan lebih rendah sekiranya dilakukan di hospital awam,” jelas Lee.

Namun, perbelanjaan terbesar datang daripada kos rawatan bayi mereka yang dilahirkan pramatang. 

Bayi lelaki itu terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) dan diperhatikan selama beberapa hari, dengan jumlah bil mencecah RM213,200 (S$65,000)

Apabila digabungkan dengan kos pemeriksaan pranatal, jumlah keseluruhan perbelanjaan kelahiran anak pertama mereka melebihi RM328,000 (S$100,000)

Bagaimanapun, sebahagian daripadanya dilindungi oleh skim kesihatan.

Bagi Gina, wang tidak menjadi isu asalkan anaknya selamat dilahirkan. 

“Masa itu, saya hanya mahu bayi saya lahir dengan selamat dan saya juga sihat. Saya langsung tak fikir tentang kos,” katanya.

Lee sependapat, sambil menegaskan keselamatan isteri dan anak adalah keutamaan. 

“Duit boleh dicari semula, yang penting nyawa mereka berdua selamat,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram