Sakit sendi, berpeluh malam antara 20 simptom fasa menopaus dialami wanita Malaysia, anda kategori mana?


  • Sihat
  • Khamis, 18 Sep 2025

Wanita Malaysia alami pelbagai simptom menopaus yang memberi kesan kepada kesihatan, emosi dan produktiviti kerja.

USIA bukan penghalang untuk wanita Malaysia terus cergas dan produktif, namun ada terdapat satu fasa kehidupan yang mereka sering terlepas pandang iaitu menopaus.

Ramai wanita kini hidup sehingga usia 70-an, menjadikan hampir separuh daripada hayat mereka berada pada peringkat selepas menopaus.

Bagaimanapun, isu kesihatan itu jarang sekali dibincangkan secara terbuka sama ada di klinik, polisi tempat kerja atau perbualan harian.

BACA LAGI: Rumah bernafas dengan bata terracotta, reka bentuk mesra iklim di Vietnam

BACA LAGI: Seni batik jadi 'statement piece' di ruang tamu, panel dinding, kamar tidur, pertembungan moden-tradisi yang wow!

Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr. Premitha Damodaran yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah International Menopause Society, menegaskan sudah tiba masanya menopaus diberi perhatian sewajarnya.

Buat pertama kali, kajian berskala besar mengenai simptom menopaus dalam kalangan wanita bekerja pelbagai etnik di Malaysia diterbitkan dalam jurnal perubatan Climacteric (Jun 2025).

Kajian berasaskan soal selidik dalam talian itu melibatkan 1,825 responden berusia 40-60 tahun daripada semua kumpulan etnik utama di negara ini.

Soalan menilai 20 jenis simptom menopaus yang diadaptasi daripada Menopause Rating Scale dan dianalisis mengikut umur, etnik dan tahap pendapatan.

Antara simptom paling kerap dilaporkan ialah sakit sendi (34.6 peratus), gangguan tidur (31.1 peratus), brain fog atau gangguan fokus (26.2 peratus), perubahan emosi (25.8 peratus) dan masalah penghadaman (25.5 peratus).

Wanita India dilaporkan hampir tiga kali ganda lebih cenderung mengalami empat atau lebih simptom berbanding wanita Cina.

Wanita Melayu mencatatkan peningkatan sederhana dengan keletihan menjadi aduan paling utama.

Menariknya, simptom seperti panas badan (hot flushes) dan berpeluh malam yang biasa dilaporkan di negara Barat dilihat lebih rendah di Malaysia, masing-masing 17.8 peratus dan 20.9 peratus.

Perbezaan mengikut umur, pendapatan

Wanita berusia 45-49 tahun banyak melaporkan perubahan emosi, keletihan dan masalah penghadaman.

Sementara itu, golongan 50-54 tahun lebih terdedah kepada panas badan, berpeluh malam dan gangguan tumpuan.

Bagi usia 55-60 tahun, sakit sendi, kekeringan faraj, hubungan intim yang menyakitkan serta jangkitan saluran kencing menjadi aduan utama.

Wanita berpendapatan tinggi pula didapati 1.64 kali ganda lebih terkesan dengan simptom mereka, mungkin akibat tekanan kerja atau kesedaran kesihatan yang lebih tinggi.

Sebaliknya, responden berpendapatan rendah cenderung menggambarkan keadaan mereka sebagai tidak sihat secara umum.

Implikasi terhadap ekonomi, polisi tempat kerja

Statistik turut menunjukkan penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia menurun ketara daripada 69 peratus bagi usia 40-44 tahun kepada hanya 34 peratus bagi usia 55-59 tahun, iaitu tempoh kritikal peralihan menopaus.

Walaupun faktor penjagaan keluarga dan tanggungjawab rumah tangga memainkan peranan, simptom menopaus yang tidak diurus mungkin menyumbang kepada penurunan tersebut.

Di Amerika Syarikat (AS), kerugian produktiviti akibat simptom menopaus yang tidak dirawat dianggarkan mencecah AS$1.8 bilion (RM7.6 bilion) setahun.

Ini memberi petunjuk bahawa Malaysia juga mungkin menanggung kos ekonomi yang sangat besar.

Kajian itu memberi mesej jelas kepada penyedia penjagaan kesihatan dan majikan.

Pengamal perubatan disaran menilai simptom menopaus secara menyeluruh dan bukan hanya tumpu pada suhu badan termasuk sakit sendi, gangguan tidur, isu kognitif dan masalah urogenital.

Majikan pula digalakkan memperkenalkan polisi mesra menopaus seperti sokongan kesejahteraan untuk pekerja wanita pertengahan usia, cuti fleksibel atau program pendidikan kesihatan.

Menopaus bukanlah tanda kejatuhan, tetapi fasa penting yang menentukan kualiti hidup berjuta wanita.

Dengan strategi tepat, wanita Malaysia bukan sekadar boleh hidup lebih lama, tetapi juga lebih sihat, kuat dan produktif sepanjang dekad selepas menopaus. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram