
"PERCERAIAN bukan bermaksud keluarga yang musnah". Itu mesej dikongsi seorang ibu yang percaya bahawa kasih sayang dan didikan terbaik mampu membesarkan anak secara baik, walaupun berpisah dengan pasangan.
Jelasnya, anak lelakinya Mikhail kini membesar dengan penuh perhatian dan kasih sayang bukan sahaja daripadanya, malah turut menerima sokongan bekas suami, pasangan baharu serta ahli keluarga lain.
BACA LAGI: Awas lelaki 'preggophilia', ibu hamil elak kongsi gambar 'baby bump' di laman sosial
"Broken marriage tak semestinya broken everything, kami masih baik kerana ada ikatan keluarga sehingga ke Jannah.
"Pengalaman lama itu menjadikan kita orang dewasa, saya bertuah mempunyai suami memahami dan sentiasa menjadi tulang belakang saya, mendoakan saya, mendidik anak-anak saya.
"Saya juga bertuah, mentua saya sayangkan saya, Alhamdulillah dia ibarat ibu bapa saya sehingga sekarang, saya juga bertuah ibu tiri Mikhail sayangkan anak saya, mereka berdua sangat baik dan bertanggungjawab," kongsi Zatti Edlina Ibrahi di laman Facebook.
Menurutnya, walaupun perjalanan hidupnya penuh cabaran, tanggungjawab sebagai ibu tetap menjadi keutamaan dan sanggup berkorban masa serta tenaga demi memastikan anak mendapat pendidikan yang baik.
"Anak adalah amanah ALLAH, saya pernah berlapar demi anak, tapi saya yakin ALLAH menjanjikan kejayaan buat mereka yang memikul amanah ini," jelasnya lagi.
Hubungan baik dengan bapa, ibu tiri
Zetti dalam masa sama menegaskan bahawa anak tidak seharusnya dijauhkan daripada kasih seorang bapa hanya kerana perceraian.
Malah, hubungan anak dengan ibu tiri seharusnya perlu dipupuk dengan rasa hormat dan kasih sayang sebagai sebuah keluarga bahagia.
"Jangan pengaruh minda anak bencikan bapa atau ibu tiri sebab masalah yang lepas tidak ada kena mengena dengan masa depan anak bersama orang yang baru, sama sekali tiada kaitan.
"Ajar anak mencintai ibu tirinya seperti mana dia cinta kita ibu dia, ibu tiri sama darjat dengan ibu kandung cuma mereka tak melahirkan tapi darjat tetap sama sebagai ibu," tambahnya.
Dalam pada itu, wanita ini turut menitipkan pesanan buat ibu tunggal yang melalui situasi sama agar tidak takut dengan cabaran kewangan mahupun pandangan masyarakat.
Tegasnya, mendidik anak dengan baik adalah satu bentuk maruah sebagai seorang ibu kerana kejayaan mereka adalah bukti bahawa pengorbanan dicurahkan tidak sia-sia.
"Reda seorang anak itu pada ibu bapanya bukan redha atau doa daripada netizen, doa mak dia tiada hijab," ujarnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram