
DEMI mempertahankan maruah rumahtangga, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte Macron tampil ke mahkamah Amerika Syarikat dengan membawa bukti saintifik bagi menafikan fitnah bahawa Brigitte dilahirkan sebagai seorang lelaki.
Pasangan itu memfailkan saman pada Julai lalu terhadap pemerhati politik daripada Amerika Syarikat, Candace Owens.
Mereka mendakwa Owens berulang kali menyebarkan tuduhan tidak berasas demi meraih lebih ramai pengikut serta mengaut keuntungan.
Owens sebelum ini dengan lantang mendakwa sanggup mempertaruhkan reputasi profesional untuk membuktikan Brigitte ialah seorang lelaki bernama Jean-Michel Trogneux.
Tuduhan itu kemudian diteruskan menerusi siri podcast lapan episod yang diterbitkannya tahun lalu.
Peguam pasangan itu, Tom Clare daripada firma Clare Locke yang merupakan firma guaman terkenal dengan kemenangan dalam beberapa kes fitnah berprofil tinggi berkata, dakwaan tersebut memberi kesan emosi yang mendalam kepada Brigitte dan turut mengganggu tumpuan suaminya sebagai presiden.
Dalam temu bual bersama podcast Fame under Fire terbitan BBC, Clare menegaskan bahawa testimoni pakar akan dibentangkan dan ia bersifat saintifik.
"Walaupun proses ini membuatkan Brigitte terdedah secara terbuka, beliau nekad untuk melakukan apa sahaja demi membersihkan nama," katanya.
Selain keterangan pakar, mahkamah turut akan melihat bukti berbentuk foto lama Brigitte ketika mengandung dan membesarkan tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.
Dalam saman berkenaan, pasangan Macron turut menegaskan bahawa Jean-Michel Trogneux ialah abang kandung Brigitte yang menetap di Amiens, utara Perancis, dan pernah hadir pada dua majlis angkat sumpah Macron pada 2017 dan 2022.
Brigitte, 72, yang 24 tahun lebih tua daripada Macron mula mengenali suaminya ketika mengendalikan bengkel teater di sekolah menengah tempat Macron menuntut.
Beliau memiliki tiga anak (lahir pada 1975, 1977 dan 1984) serta tujuh cucu hasil perkahwinan terdahulu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram