Bertahun ajar diri reda dimadukan, wanita guna hak fasakh bila suami lumpuh, lepaskan tanggungjawab pada isteri muda


  • Cinta
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Selepas tiga bulan menjaga suaminya yang lumpuh, seorang isteri akhirnya mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan fasakh. — Gambar Hiasan

“KALAU suami boleh guna hak dia untuk berkahwin dua, kenapa saya tidak boleh guna hak saya sebagai seorang isteri?”

Itulah luahan seorang wanita, Desi Norlela yang tular di Facebook selepas menceritakan kisah rumah tangganya.

Menurut Desi, selama dua tahun, dia belajar untuk reda apabila suaminya memilih untuk berpoligami. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia

Walaupun pada awalnya hatinya terluka, dia cuba memujuk diri bahawa suami adalah pinjaman ALLAH, bukan hak mutlaknya.

“Setiap kali solat bila datang rasa kecewa, saya doa dan ingatkan diri… suami bukan hak saya. Bila-bila masa ALLAH boleh tarik. Itu saja yang saya ulang-ulang untuk pujuk hati,” tulisnya.

Namun, dugaan besar datang apabila suaminya terlibat dalam kemalangan dan terlantar sakit sejak tiga bulan lalu, lumpuh separuh badan serta tidak lagi mampu bekerja.

Desi mengakui pada awalnya dia menjaga suami sepenuh masa termasuk memandikan dan membersihkan najis, namun lama-kelamaan kudratnya tidak mengizinkan.

“Disebabkan suami tidak mampu lagi beri nafkah, saya pilih untuk failkan fasakh. Saya rujuk pejabat agama, ustaz dan ustazah pun kata dalam Islam dibenarkan. Nafkah itu hak mutlak isteri,” jelasnya.

Malah, katanya, sebelum meninggalkan suami di rumah madu, dia terlebih dahulu memohon maaf dan memohon ampun kerana tidak mampu terus menjaga.

“Selama tiga bulan saya dah jaga dia. Sekarang saya serah pada madu untuk pikul tanggungjawab. Saya dah salam, minta maaf, suami pun angguk faham,” katanya.

Namun apa yang mengejutkan, madu yang pernah berjanji untuk menjaga suami lebih baik daripadanya kini khabarnya turut berhasrat memfailkan fasakh.

Luahan itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan ramai warganet melontarkan pandangan yang sinis, pedih dan penuh pengajaran.

Seorang pengguna, Maisarazainals menegaskan bahawa punca sebenar bukanlah soal nafkah, tetapi soal keadilan dan perasaan isteri. 

“Saya yakin isteri ini bukan kisah sangat pasal nafkah sebab dia faham suami sakit. Tapi dia persoalkan, ‘kalau suami boleh buat, kenapa saya tak boleh?’ Lelaki tolong ingat, poligami itu dibenarkan tapi bukan digalakkan. Kalau kau tak mampu setia, jangan harap isteri boleh kekal setia sampai mati," katanya. 

Bagi Norafiqah Syahirah, apa yang berlaku seolah mengesahkan kata-kata para ustaz tentang lelaki yang menyakiti isteri. 

“Saya pernah dengar seorang ustaz kata, setakat ini belum pernah ada lelaki yang curang dan menyakiti isteri kemudian hidup bahagia selamanya. Sampai masa ALLAH akan uji dan kisah puan ini memang jadi bukti nyata," katanya. 

Sementara itu, Shaquilla Abdullah mengingatkan bahawa isteri pertama selalunya paling ikhlas dan setia, namun apabila hati disakiti, kasih sayang sukar dipulihkan. 

“Selalunya isteri pertama yang pernah susah senang bersama akan jaga sampai hujung nyawa. 

"Tetapi bila hati perempuan dikhianati, kasih sayang itu mati serta-merta. Yang tinggal hanya tanggungjawab, sebab hari-hari makan hati. 

"Lagi parah bila suami kahwin sorok-sorok. Bahagia rumah tangga bermula dengan kasih sayang awal perkahwinan, kalau itu hilang, pengakhirannya jarang indah," katanya. 

Seorang lagi pengguna, Liza pula memberi sindiran terhadap lelaki yang menggunakan poligami tanpa fikir masa depan. 

“Inilah aturan ALLAH. Jangan sakiti hati pasangan yang ikhlas menerima kita waktu susah. Lelaki jangan sangka diri akan sentiasa muda, sihat dan gagah. Hari ini mungkin mampu kahwin dua, tiga, empat… tapi bila jatuh sakit, barulah sedar siapa yang sanggup jaga. Tahniah puan, sebab bukan semua orang mampu bertahan bila dimadukan tanpa rela," katanya. 

Manakala Aniz Haniza berkongsi pengalaman peribadinya yang hampir sama. 

“Saya pernah jaga suami tiga tahun waktu dia lumpuh bermula dari mandikan, suap makan, sampai basuh najis.

"Tetapi bila dia sembuh, dia tinggalkan saya macam tu saja. Sebab tu saya faham sangat tindakan puan, jangan rasa bersalah bila pilih untuk lepaskan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram