Jaga-jaga darah 'manis', jangan 'call' bekas kekasih, tanggal cincin, ini pantang larang fasa bertunang


  • Cinta
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Tempoh bertunang bukan sekadar menunggu hari, tapi masa untuk saling jaga hati dan belajar menghormati proses menuju halal. — Gambar Hiasan

TEMPOH pertunangan sering dianggap fasa paling mencabar dalam hubungan.

Dalam masyarakat Melayu, pasangan yang sedang bertunang digelar sebagai 'darah manis' yang menjadi simbolik kepada betapa halus, rapuh dan mudah tergugatnya ikatan sebelum diijab kabul.

Baru-baru ini, pengurusan majlis perkahwinan, Rumah Abang Jamil berkongsi senarai pantang larang untuk pasangan bertunang yang wajar dijadikan panduan, bukan sahaja dari sudut adat, malah juga selari dengan tuntutan agama.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia

Belajar bertolak ansur dan kurangkan sikap ego dengan pasangan masing-masing. — Gambar hiasan

1. Dilarang hubungi bekas kekasih

Antara pantang paling keras ialah jangan sesekali menghubungi bekas kekasih.

Bimbang ia menimbulkan salah faham, membuka ruang fitnah, malah boleh merosakkan kepercayaan pasangan.

Tempoh ini sepatutnya menjadi ruang untuk membina keyakinan, bukan menoleh ke belakang.

2. Jangan ikut emosi, kawal ego

Pertunangan ialah fasa ujian akhir sebelum bergelar suami isteri.

Ketika ini, perasaan lebih sensitif dan mudah terhiris. Belajar bertolak ansur, kurangkan sikap ego serta kawal percakapan agar tidak menimbulkan pergaduhan yang tidak perlu.

3. Jangan cabut cincin pertunangan

Selain menjadi tanda status bahawa seseorang itu sudah dimiliki, cincin pertunangan juga membawa simbolik amanah dan kesetiaan.

Ia juga menjadi pengingat setiap kali dipakai bahawa diri sedang dalam fasa menuju perkahwinan dan perlu menjaga batas.

Persiapan ke arah kehidupan berdua lebih mudah dibuat jika masing-masing memainkan peranan yang jelas dalam hubungan. — Gambar hiasan

4. Elak kerap jumpa pasangan

Dalam hantaran yang sama, turut dinasihatkan pasangan supaya mengurangkan pertemuan.

Hal ini bukan sahaja untuk mengelak fitnah masyarakat, malah bagi menjaga batas pergaulan seperti dianjurkan Islam.

Rasulullah SAW bersabda: 

Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita (yang bukan mahram), kerana yang ketiganya adalah syaitan. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Malah, sesetengah keluarga mengamalkan pantang larang tidak berjumpa pasangan selama 40 hari sebelum akad nikah.

Tujuannya adalah untuk mengawal nafsu, mengelak tohmahan dan memberi ruang rindu yang bakal diubati pada hari perkahwinan.

5. Jangan terlalu 'galok'

Istilah galok merujuk kepada sikap terlalu leka, seronok atau berfoya-foya tanpa memikirkan tanggungjawab yang bakal dipikul. 

Tempoh bertunang sepatutnya dijadikan masa untuk memperbaiki diri, meningkatkan ilmu rumah tangga, mendekatkan diri kepada Tuhan, serta membuat persediaan mental, emosi dan kewangan menuju alam rumah tangga.

Jadi, elakkan terlalu sibuk dengan aktiviti tidak berfaedah sehingga mengabaikan persiapan ke arah kehidupan berdua.

Inilah masa untuk muhasabah dan membentuk disiplin diri sebagai bakal suami atau isteri.

6. Jangan terlalu ikut cakap orang

Fasa pertunangan sering dihujani dengan pelbagai pandangan iaitu ada yang menyarankan hantaran tinggi, ada yang mendesak majlis gilang-gemilang, malah ada yang menyelitkan petua atau amalan tertentu. 

Nasihat boleh dipertimbangkan, tetapi jangan sampai terbeban dengan kata-kata orang.

Peganglah prinsip bahawa hanya kita dan pasangan benar-benar memahami kemampuan kewangan, tahap keselesaan dan hala tuju hidup bersama. 

Ambil nasihat yang bermanfaat, tolak yang membebankan. Hakikatnya, kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada pandangan orang lain, tetapi pada keserasian dua jiwa yang memilih untuk hidup bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram