Varian baharu XFG Covid-19 dikesan di Malaysia, kanak-kanak, warga emas lebih risiko alami komplikasi


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Pakar kesihatan turut memberi amaran bahawa kanak-kanak antara golongan lebih berisiko mengalami komplikasi serius jika dijangkiti varian XFG Covid-19. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kemunculan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai XFG dalam jangkitan terkini di negara ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan berikutan keupayaannya merebak dengan pantas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, XFG menyumbang 8.2 peratus daripada 43,087 kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 (ME 35/2025).

“Data terkini pemantauan genomik menunjukkan NB.1.8.1 masih dominan dengan 34 peratus, diikuti JN.1 (18.1%), XEC (13.3%), XFG (8.2%) dan varian lain (21.0%),” katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.

BACA LAGI: Kostum Bajau Sama 'mendunia', rekaan Mell Sulaiman pernah 'terbang' ke Switzerland, London, Qatar

BACA LAGI: Suami bukan setakat beri nafkah, bayar bil, kena 'alert' kesihatan isteri, jangan sambil lewa!

Walaupun jumlah kes pada ME 35/2025 merekodkan penurunan 49.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu (85,297 kes), kemunculan XFG membuktikan ancaman penularan Covid-19 masih wujud.

Dalam minggu sama, hanya satu kematian dilaporkan melibatkan pesakit berusia 91 tahun yang uzur sehingga menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 pada tahun ini meningkat kepada tiga kes.

Risiko tinggi kepada golongan rentan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian XFG diklasifikasikan sebagai variant under monitoring sejak 25 Jun lalu kerana mempunyai kebolehjangkitan tinggi dan kebolehan mengelak perlindungan vaksin.

Pakar kesihatan turut memberi amaran bahawa kanak-kanak dan warga emas lebih berisiko mengalami komplikasi serius jika dijangkiti.

Kanak-kanak

Berdasarkan garis panduan CDC, mereka boleh terdedah kepada radang paru-paru, sindrom keradangan multisistem (MIS-C) dan gangguan jangka panjang seperti ‘long Covid’.

Warga emas

Kajian klinikal menunjukkan risiko lebih tinggi terhadap jangkitan paru-paru kronik, kegagalan organ, serta kadar kematian yang meningkat, khususnya bagi pesakit dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan sakit jantung.

Dr. Dzulkefly mengingatkan masyarakat agar terus mengamalkan langkah pencegahan asas.

“Basuh tangan dengan kerap, pakai pelitup muka jika bergejala atau berada di kawasan sesak, serta dapatkan vaksin terutamanya bagi golongan berisiko tinggi,” katanya.

Pakar turut menyarankan ibu bapa supaya lebih peka terhadap simptom pada anak-anak seperti batuk, demam dan sesak nafas.

Bagi keluarga yang menjaga warga emas pula, pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 digalakkan untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram