
SEORANG doktor tampil memberi teguran pedas buat para suami yang hanya menitikberatkan pencarian wang tetapi gagal memahami keadaan kesihatan isteri sendiri.
Menerusi satu hantaran di Threads, pakar perubatan itu, Kent Khaw menceritakan pengalaman ketika merawat seorang wanita yang hadir ke kliniknya dalam keadaan pucat, menggigil dan menangis kesakitan.
Namun, apa yang mengejutkannya, suami yang menemaninya langsung tidak tahu menjawab soalan asas mengenai sejarah perubatan isteri bermula daripada alahan ubat, rekod pembedahan hinggalah kitaran haid.
“Semua soalan saya, dia lempar balik pada isteri yang tengah menangis kesakitan. Ingatkan suami dia kerja luar negara, rupanya tak pun.
"Jadi kenapa satu pun pasal isteri, encik tak tahu?" soalnya.
Menurut Kent, sikap sambil lewa itu bukan sahaja menambah penderitaan isteri, malah boleh membahayakan nyawa jika berlaku kecemasan.
“Isteri bukan hanya jaga anak atau masak. Dia manusia yang ada jasad, emosi dan kesakitan. Bila sakit, dia perlukan sokongan, bukan dibiarkan jawab semua sendirian,” tegasnya.
Beliau menegaskan, alasan kononnya suami hanya fokus pada pekerjaan tidak boleh diterima.
"Jadi suami bukan sekadar bayar bil, tetapi ambil tahu. Ambil peduli. Sebab bila isteri sakit, yang patut jadi first responder adalah awak.
Ramai wanita senasib, kongsi pengalaman
Luahan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga maya, terutama wanita yang pernah berdepan suami tidak ambil peduli ketika mereka sakit.
Ada yang mendedahkan terpaksa menjalani pembedahan seorang diri, ada yang pergi ke klinik dengan berjalan kaki meskipun sedang menahan sakit, malah ada yang mendakwa suami menganggap mereka mengada-ngada apabila mengadu sakit.
Seorang pengguna, Maihani Mat A’Isa berkata, ketika anaknya dirawat di hospital akibat penyakit Kawasaki, suaminya langsung tidak tahu perkembangan rawatan meskipun doktor sudah beberapa kali memberi penjelasan.
“Sakit hati bila tanya apa doktor cakap, dia jawab tak tahu. Sedangkan anak dalam keadaan serius,” ujarnya.
Bagi Idais, dilema ramai wanita adalah apabila mereka tetap memilih untuk menanggung sakit sendiri kerana berasakan aduan kepada suami hanya sia-sia.
“Kadang-kadang isteri malas nak cerita pada suami sebab rasa macam bercakap dengan dinding.
"Walaupun sakit, selagi mampu mereka tetap buat kerja rumah macam biasa. Mereka tahu kalau terbaring, semua tak jalan... anak tak makan, anak tak sekolah.
"Jadi mereka bertahan, hanya telan panadol. Suami balik nampak macam biasa, padahal isteri sedang sakit. Akhirnya, baru sedar bila isteri pengsan," katanya.
Pengguna lain, Izzra pula mendedahkan pengalaman pahit apabila terpaksa menanggung pembedahan tanpa ditemani suami.
“Lelaki macam ini memang ramai. Saya sendiri pernah jalani pembedahan lutut seorang diri, balik pun sendiri. Bila sakit, suami kata saya mengada-ngada atau sengaja nak cuti sakit. Mujur Tuhan jauhkan dia dari hidup saya.”
Tidak hanya itu, seorang wanita, AyuZaiyen DeXandra mendakwa bekas suaminya tidak pernah mengambil peduli meskipun dia berada dalam keadaan sakit.
“Dulu masa saya sakit, bekas suami langsung tak ambil tahu. Saya menangis pun dia buat tak tahu, sibuk main game.
"Esoknya, dengan sakit-sakit, saya pergi sendiri klinik berjalan kaki. Kalau dia hantar pun, dia tunggu di luar, tak pernah tanya doktor cakap apa. Jadi bila kembali single, saya dah terbiasa sakit seorang diri," katanya.
Namun, tidak semua kisah berakhir dengan kekecewaan. Ada juga wanita yang bersyukur kerana dikurniakan pasangan penyayang dan sentiasa mengambil tahu kesihatan mereka.
Zuraida Ahmad yang sudah 33 tahun berkahwin berkata, dia dan suami mempunyai rutin untuk sentiasa bertanya tahap kesihatan masing-masing.
“Kalau sakit lebih tahap enam, suami terus ajak ke klinik. Dah jadi amalan supaya kalau berlaku apa-apa, kami tahu sakit apa dan rawatan yang pernah dibuat,” katanya.
Seorang pengguna, Yamasaki Heart bersyukur kerana suaminya mencontohi sahabat baik yang sentiasa menjaga isterinya.
“Saya bersyukur ada sahabat baik yang jadi contoh kepada suami. Kawan saya sanggup ambil cuti walaupun potong gaji demi temankan isteri ke janji temu doktor.
"Dari situ, suami saya belajar. Walaupun saya tak bagi cuti penuh, dia tetap ambil separuh hari atau kerja dari rumah, asalkan dia tahu keadaan saya dahulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram