Graduan kongsi kisah kejayaan walau ibu bapa belajar setakat darjah 6, tak fasih bahasa Inggeris


  • Cinta
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Kisah kejayaan beberapa individu daripada keluarga kurang berkemampuan yang cukup memberi inspirasi. — Gambar hiasan

BUKAN semua individu yang berjaya datang daripada keluarga mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

Sesetengahnya dibesarkan oleh ibu bapa dengan tahap pendidikan setakat peringkat sekolah dan kurang fasih berbahasa Inggeris.

Malah, ada keluarga yang harus bekerja keras melakukan pelbagai kerja demi menyara keluarga.

BACA LAGI: Ada 8 model 'rat-walk', Ella dapat 'gaji' lebih RM10,000 jual seni unik

BACA LAGI: MAS catat sejarah lancar operasi penerbangan dikendalikan pasukan wanita, dari jurutera hingga ke juruterbang

Kesusahan keluarga tidak menghalang seseorang itu untuk terus menimba ilmu. — Gambar hiasan

Namun, kekurangan itu tidak menjadi alasan untuk mereka berputus asa dalam menimba ilmu.

Ia jelas terbukti selepas melihat beberapa warga maya berkongsi kisah masing-masing dalam membuktikan bahawa usaha gigih mampu mengubah nasib meskipun datang dari keluarga kurang berkemampuan.

Pengguna akaun Threads @jaykassim menceritakan bagaimana ibu bapanya yang kurang fasih bahasa Malaysia berjaya memberi pendidikan sehingga ke menara gading.

"Arwah ayah saya hanya cakap bahasa Tamil dan sedikit bahasa Malaysia.

"Manakala, ibu pula hanya bercakap bahasa Malaysia dan bersekolah hingga darjah enam.

"Ibu seorang diri membesarkan kami empat beradik dan saya anak sulung kini graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.

"Kakak kedua pula ke universiti Al-Azhar dan kini menjadi ustazah. Adik ketiga guru prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," kongsinya.

Bagi pemilik akaun @maisyac pula, perjalanan akademiknya penuh dengan cabaran apabila ibu bapanya yang turut belajar hingga darjah enam meninggal dunia ketika dirinya masih remaja.

Ditambah pula dengan kehilangan abang pada usia lapan tahun menjadikan kehidupannya lebih sukar.

"Ayah saya kerja pemandu lori dan ibu pula suri rumah. Alhamdulillah sekarang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

"Sumpah tak percaya boleh juga habiskan belajar dengan tiada sistem sokongan langsung," luahnya.

Sementara itu, pengguna @thezulclan mengimbau zaman kanak-kanak yang penuh kesempitan apabila bapanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan gaji hanya sekitar RM300 sebulan untuk menyara tujuh anak.

"Kehidupan memang sukar bagi kami, tetapi ibu bapa saya membuatkan kami belajar bersungguh-sungguh.

"Ini kerana pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar dari kemiskinan.

"Kami tidak pernah merungut walaupun kadangkalanya iri hati dengan rakan yang mempunyai lebih daripada saya," katanya.

Kisah-kisah tersebut membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukanlah penentu masa depan semata. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram