
BUKAN sekadar haiwan biasa, kehadirannya ternyata memainkan peranan penting dalam hidup seseorang.
Mungkin sedikit pelik bunyinya, menjadikan tikus sebagai ‘seniman kecil’ atau model untuk membantu tuannya menjana pendapatan dengan hanya berlari di atas kanvas.
Itulah yang berlaku pada Ella Woodland dari Droitwich Spa, Worcestershire, England, United Kingdom.
Tikus peliharaan Ella memainkan peranan sebagai ‘seniman kecil’. — Agensi
Remaja perempuan berusia 18 tahun itu juga merupakan pelajar di University of Worcester dalam bidang psikologi.
Lebih mengejutkan apabila Ella berjaya mengubah hobinya memelihara tikus kepada perniagaan yang menguntungkan.
Inspirasi dari media sosial
Menurut Ella, ideanya menghasilkan produk tersebut selepas melihat pencipta kandungan di Facebook, TooGoods Tiny Pawa yang menjual hasil seni tikus peliharaannya.
Ella kemudiannya mula mencuba pendekatan sama sejak Februari lalu.
Dengan mengggunakan cat air khusus untuk kanak-kanak, Ella menyediakan ruang permainan kecil, kanvas mini serta umpan makanan bayi untuk menggalakkan lapan ekor tikusnya ‘berkarya’.
Seni yang dihasilkan menggunakan tapak kaki tikus. — Agensi
Antara tikusnya diberi nama Gubler, Rumple dan Reid (setahun), Hotch, Morgan, Luke, Rossi dan Gideon berusia enam bulan.
Pada awalnya, Ella menjual hasil seni tersebut di platform Vinted pada harga RM57.12 (£10) setiap satunya.
Sambutan agak perlahan dengan hanya dua hingga tiga jualan seminggu.
Namun, nasibnya berubah apabila seorang pengguna media sosial berkongsi gambar karya itu di X (dahulunya Twitter) yang kemudian meraih lebih tujuh juta tontonan.
Sejak itu, permintaannya meningkat sehingga 500 peratus.
Harga karya seni uniknya juga kini mencecah RM2,000 (£500) setiap lukisan dan Ella berjaya menjana pendapatan hampir RM11,000 (£2,000) dalam masa beberapa bulan sahaja.
Seni lukisan tikus yang unik dan mendapat permintaan ramai. — Agensi
“Pada mulanya saya sekadar cuba-cuba. Tidak sangka ia mendapat perhatian ramai.
“Kini, saya anggap ia sebagai kerja sambilan terbaik sepanjang musim panas,” katanya.
Katanya, kebanyakan hasil jualan yang diperoleh digunakan bagi menanggung kos penjagaan dan kebajikan haiwan kesayangannya.
Ia termasuklah membeli sangkar premium bernilai RM1,500 (£250), terowong permainan serta makanan berkualiti seperti pasta, bijirin dan ulat.
Bakinya pula disimpan Ella untuk membayar yuran kelas memandu dan menabung membeli kereta.
“Ini situasi menang-menang. Tikus-tikus saya seronok bermain dan saya pula dapat simpan wang untuk masa depan,” ujarnya.
Meskipun ada segelintir yang mengaku fobia terhadap tikus, majoriti pembeli memberikan maklum balas positif.
Ella pada masa sama berhasrat untuk terus menghasilkan karya seni tikusnya sepanjang hayat kesemua lapan ekor haiwan itu masih ada. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram