
BENARLAH kata orang, kasih seorang ayah tiada tandingan apabila sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelematkan anak tercinta.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lalu, seorang lelaki, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika sedang menjala udang di Sungai Batang Sadong, Kampung Lubok Punggor, Simunjan, Sarawak.
Bapanya, Sudin Chi, 71, yang turut berada berhampiran kawasan sama menyaksikan kejadian sebelum terjun ke dalam sungai untuk membantu.
BACA LAGI: 'Tak tangguh kerja', usahawan muda cari rezeki cipta arca konkrit seawal usia 6 tahun
Sudin juga sempat menahan dan cuba membuka mulut buaya berkenaan dengan harapan dapat mengeluarkan kepala anaknya.
Usahanya untuk menyelamatkan anaknya bagaimanapun tidak berhasil dan mangsa terus ditarik haiwan tersebut sehingga ke tengah sungai sebelum hilang dari pandangan.
"Saya cuba cucuk matanya, tetapi tak dapat. Saya juga sempat pegang kepala anak saya sebelum buaya itu pergi ke tengah sungai," katanya.
Menerusi gambar dikongsikan warga maya, kelihatan sosok Sudin yang penuh dengan lumpur sedang duduk di dahan pokok sambil merenung ke sungai.
Gambar tersebut turut dipercayai diambil ketika kejadian.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilaporkan masih berjalan sejak Selasa.
Operasi itu melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Simunjan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Foresty Corporation (SFC) serta beberapa penduduk kampung termasuh ahli keluarga mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram