'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami


  • Cinta
  • Ahad, 07 Sep 2025

Pasangan perlulah sentiasa meningkatkan ilmu dalam rumah tangga agar mengecapi kebahagiaan bersama. —  Gambar Hiasan

RAMAI pasangan menganggap kursus kahwin yang diwajibkan sebelum mendirikan rumah tangga sudah memadai sebagai bekalan untuk menjalani kehidupan berumah tangga. 

Hakikatnya, cabaran dalam perkahwinan tidak pernah berhenti dan memerlukan ilmu berterusan sepanjang hayat.

Itulah peringatan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menerusi satu rakaman video. 

BACA LAGI: Belum umur 30 tahun sudah pradiabetes, doktor bongkar kes wanita diet ketat demi kurus, jelaskan punca sebenar

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar tinggal serumah, ini beberapa amalan sebelum tidur yang ramai pasangan abaikan

Beliau menegaskan, kursus kahwin hanya langkah awal, tetapi perjalanan rumah tangga sebenar akan menguji kesabaran, komitmen, serta ilmu yang dimiliki oleh pasangan.

“Awal perkahwinan mungkin nampak bahagia, tetapi bila hadir seorang anak, kemudian bertambah lagi, suasana rumah tangga akan berubah. Kadang dugaan datang daripada perkara yang tidak disangka. Sebab itu ilmu perlu sentiasa ditambah,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pengetahuan mengenai faraid dan hibah kerana ia sering menjadi punca perbalahan selepas berlakunya perceraian atau kematian. 

Menurutnya, banyak kes wanita teraniaya apabila hak mereka dinafikan akibat pindaan nama pada dokumen atau perebutan harta keluarga selepas suami meninggal. 

“Masa bercinta semua letak nama isteri, tetapi bila bergaduh terus tukar nama orang lain.

"Bila suami meninggal, isteri ditinggalkan bersama anak sehelai sepinggang. Kes macam ini yang banyak sampai kepada kami di Japerun, Melaka. Habis terkontang-kanting isteri untuk teruskan hidup,” ujarnya.

Helmy juga mengingatkan para suami agar tidak memandang ringan tanggungjawab yang dipikul selepas berkahwin.

“Dulu beban hanya diri sendiri, bila sudah berkahwin tanggungjawab jauh lebih besar. Jagalah solat kerana itulah asas yang akan menguatkan rumah tangga,” katanya.

Menariknya, Duyong kini menjadi satu-satunya kawasan yang menawarkan Kursus Kahwin Percuma, hasil inisiatif Ketua Menteri Melaka sebagai hadiah untuk rakyat.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya memuji pendekatan Helmy yang halus tetapi menusuk jiwa. 

“Fuuh, bagus YB macam ni, halus je penyampaian tapi deep. Teruskan membina kebaikan untuk dikenang, bukan untuk dibenci," kata Putera Z Gambit. 

Ada juga yang kagum kerana nasihat ini bukan sekadar duniawi, tetapi membawa pengajaran untuk akhirat

“Alhamdulillah, mana ada YB yang bagi pesanan ilmu dunia untuk akhirat pada bakal pengantin. Yang lain kena cari sendiri," kata Cik Puan Paya Kumbuh.  

Sementara itu, Ismizah Senin turut memuji cara ADUN itu menyampaikan mesej. 

“Betul tu, seronoknya sekejap tapi tanggungjawab sepanjang hayat. Cara bahasa YB mudah difahami, terbaik," katanya. 

Turut senada, Marwani Ridzuan berpendapat ilmu rumah tangga tetap perlu dipelajari walaupun usia perkahwinan sudah lama. 

“Hatta dah 30-40 tahun kahwin pun tetap kena topup ilmu,” katanya. 

Bagi generasi muda, peringatan ini membuka mata tentang realiti perkahwinan.

“Dulu muda fikir kahwin ni sedap je… salah! Tanggungjawab tu utama. Zaman sekarang lagi hebat ujiannya,” kata Annuar Shah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram